Saya boleh masak gulai ikan temenung, tapi tak sama dengan sentuhan bapa yang memasaknya – Dr Suraiya

JITRA – “Ramadan ini, saya memasak sendiri gulai ikan temenung kegemaran ayah. Tapi rasanya takkan sama seperti yang dia selalu buat.”

Itulah luahan pilu Dr Suraiya Izzati, 30, anak sulung kepada bekas pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan, Sabari Baharom, 62, yang maut dalam kejadian tragis di Sungai Padang Terap, Kampung Empa, di sini.

Sabari dipercayai dicampak ke sungai itu selepas dilarikan dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling, dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat pada 3 September tahun lalu.

Bagi Suraiya, Ramadan kali ini terasa amat berbeza tanpa kehadiran bapanya yang selalu sibuk di dapur menyediakan hidangan istimewa buat keluarga.

“Kalau bulan puasa, arwah akan bangun awal, bersahur, dan menunaikan solat Subuh di masjid. Dia akan duduk di sana sampai jam 7 pagi sebelum pulang ke rumah.

“Ayah sentiasa teruja menyambut kepulangan kami. Kalau tahu kami nak balik berbuka bersama, dia pasti akan masak sesuatu,” katanya sebak ketika ditemui di sungai tersebut pada Ahad.

Menurutnya, tiada lagi ketupat palas hasil tangan ayah, tiada lagi rendang ayam dan serunding daging yang menjadi hidangan wajib keluarga mereka pada Aidilfitri ini.

“Dulu ayah tak pandai masak. Kami belikan buku resipi untuknya. Lama-kelamaan, dia sudah mahir dan tak perlu rujuk buku lagi.

“Tapi tahun ini, semua itu hanya tinggal kenangan,” luahnya sayu.

Sudah tujuh bulan berlalu, namun kehilangan bapanya masih dirasai, terutama menjelang bulan Ramadan dan Syawal yang sebelum ini menjadi saat paling dinantikan mereka sekeluarga.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, setiap orang melalui kehilangan orang tersayang, namun pemergian bapanya sangat sukar untuk diterima.

“Kalau ayah meninggal sebab sakit tua, mungkin saya lebih mudah terima. Tapi cara dia pergi sangat kejam. Saya hanya mampu berdoa agar keadilan ditegakkan,” katanya lagi.

Setiap kali menghadiri perbicaraan kes bapanya di Mahkamah Jitra, Suraiya dan adiknya, Muhammad Amir Hakimi, 26, pasti akan singgah di sungai tersebut.

Menurutnya, kes bapanya masih dalam proses untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dijadualkan disebut semula pada 20 Mac ini atas faktor teknikal.

“Saya masih menaruh harapan dan mengharapkan keadilan untuk ayah saya.

“Saya hanya mampu terus berdoa supaya segalanya dipermudahkan dan berpihak kepada ayah,” luahnya .

Related Posts

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

SARATOK – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun bagi membantu siasatan kes rogol melibatkan seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) di sini. Ketua Polis Daerah Saratok, DSP…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

SANDAKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera termasuk tambahan dengan keseluruhan sebanyak RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga terlibat kebakaran di Kampung (Kg) Bahagia, di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

Lelaki 59 tahun ditahan, disyaki terlibat kes rogol kanak-kanak OKU

KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

KKM sangkal dakwaan label hologram gagal, masih berfungsi lindungi pengguna

Bayern ke final Piala Jerman hasil gol Diaz, Kane

Bayern ke final Piala Jerman hasil gol Diaz, Kane

City di puncak EPL lepas menang tipis atasi Burnley

City di puncak EPL lepas menang tipis atasi Burnley

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka

Malaysia tegaskan tiada keputusan unilateral boleh dibuat berkaitan Selat Melaka

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran

PMX umum bantuan RM1,500 kepada 300 keluarga Kg Bahagia terjejas kebakaran