SHAH ALAM – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akur terhadap pertuduhan kes yang didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam sebaik selesai menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram di Mahkamah Sesyen, pada Jumaat.
“Alhamdulillah hari ini saya sihat, kita ikuti prosesnya (perundangan), kita lihat macam mana nanti,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya berjumlah RM145,000.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah mengguna pakai ikat jamin RM250,000 serta syarat tambahan yang dikenakan terhadap tertuduh bagi empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Khamis
Mahadi turut memohon kes berkenaan dibicarakan bersama berikutan akan menggunakan saksi serta fakta kes yang sama.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan isteri ketiganya yang mengalami masalah bisul kronik di paha, beliau memberitahu: “Sebenarnya dia (isteri) mengalami jangkitan bisul kronik dan baru sahaja pecah.
“Sepatutnya dia perlu menjalani pembedahan, namun terpaksa melalui proses mahkamah terlebih dahulu. Kami berharap dapat merujuknya ke hospital dengan segera,” katanya.
Menurutnya, tarikh asal pertuduhan ke atas isterinya dijadualkan pada Rabu depan, namun diawalkan kepada Isnin.
“Pihak SPRM telah berbaik hati untuk bertolak ansur dengan masalah kesihatan yang dihadapinya. Oleh itu, pertuduhan dilakukan lebih awal,” katanya.
Pada Khamis, Muhammad Hafizuddeain didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2.12 juta pada 2024 hingga tahun lalu.
Sementara itu, peguam yang mewakilinya Aizul Rohan Anuar memaklumkan isteri anak guamnya itu, Salwani Anuar akan dituduh sekali lagi di Terengganu pada Isnin depan.
“Sepatutnya pertuduhan Rabu tapi SPRM setuju untuk mendakwa lebih awal sebab dia perlu ke hospital untuk pembedahan,” katanya.
Salwani pada Khamis juga berdepan empat tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 dan turut mengaku tidak bersalah.








