
BERLIN – Usaha Sarawak menjadi peneraju tenaga hijau terus diperkukuh apabila Kerajaan Negeri menjalin perbincangan awal dengan syarikat gergasi tenaga Jerman, Siemens Energy, bagi meneroka teknologi baharu pengeluaran hidrogen.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, lawatan rasmi ke ibu pejabat Siemens Energy memberi peluang besar untuk negeri itu menimba kepakaran dan memanfaatkan teknologi terkini, khususnya dalam penggunaan ‘electrolyzer’.
Beliau menjelaskan, sistem ‘electrolyzer’ keluaran Siemens mampu menghasilkan kira-kira 350 kilogram hidrogen setiap jam, jauh lebih tinggi berbanding keupayaan semasa Sarawak yang hanya sekitar 130 kilogram sehari.
“Peluang ini amat bermakna kerana kita dapat melihat potensi sebenar teknologi baharu dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran hidrogen negeri. Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi akan mengkaji bentuk kerjasama terbaik yang boleh dijalinkan,” katanya ketika ditemui media tempatan selepas sesi lawatan pada Isnin.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki; serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili.
Selain meneliti teknologi elektroliser, Abang Johari berkata, Kerajaan Negeri turut berminat dengan pembangunan turbin gas Siemens serta kemudahan simulasi yang ditawarkan di Pusat Inovasi syarikat tersebut.
“Turbin gas yang lebih efisien boleh dimanfaatkan di Samalaju, manakala pusat simulasi pula berpotensi besar digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan di Sarawak,” jelasnya.
Beliau menegaskan lawatan kerja rasmi ini membuka lembaran baharu untuk Sarawak memperkukuh kedudukan sebagai hab hidrogen serantau, sekali gus menyokong aspirasi tenaga bersih dan ekonomi hijau negeri.
Terdahulu, rombongan Premier turut mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kanan Kumpulan Siemens Energy merangkap Pengarah Urusan Asia Pasifik, Thorbjörn Fors, serta Naib Presiden Eksekutif Global Functions, Juha Pankakoski.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







