
KUCHING – Kerajaan Sarawak sangat proaktif dalam membendungi masalah dadah di wilayah itu.
Menurut Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) DCP Datuk Zainuddin Ahmad, kerajaan Sarawak menubuhkan One Stop Committe (OSC) dalam memastikan dadah dapat dibendungkan.
“Sejak 2019, Sarawak sangat serius proaktif menangani masalah dadah termasuk mengisytiharkan masalah keselamatan pada 2020,” kata beliau.
Beliau turut memuji kerajaan Sarawak terutama Menteri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah begitu proaktif membantu JSJN dalam usaha mengekang masalah dadah di Sarawak.
“Bantuan daripada kerajaan Sarawak terutama dari segi logistik dapat mengawal dadah di pintu masuk ke Sarawak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pendapat ketika Forum Khas Narkotik Anjuran Bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah Dan Substans (MIDS) Sarawak di hotel terkemuka pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata, negara kita yang terletak di tengah khususnya Semenanjung dan berdekatan negara pengeluar dadah menjadi punca peningkatan masalah dadah di Malaysia.
Menurut beliau lagi, masalah dadah bermula sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan iaitu abad ke-18.
“Masalah dadah semakin meruncing ketika 1970-an dan kebetulan pada waktu itu Perang Vietnam.
Tambah beliau, kerajaan Malaysia pada waktu itu melihat dadah semakin meruncing dan mengisytihar dadah sebagai ‘Musuh Nombor 1 Negara’.
Selain itu, beliau berkongsi modus operandi penyeludupan dadah terdapat tiga cara iaitu kargo, kurier udara dan ‘drug mule’.
“Penyeludup menggunakan kaedah ‘drug mule’ untuk memastikan dadah mudah dimasukkan ke sesuatu tempat,” jelas beliau.
Beliau berkata biasanya penyeludup menawarkan gaji yang lumayan kepada ‘drug mule’ yang biasanya dalam kalangan anak muda.
“Penjualan dadah dalam talian seperti media sosial dan ‘dark web’ turut digunakan sehingga sukar untuk dikesan,” kongsi beliau.







