
SINGAPURA – Sarawak mahu menjadi peneraju global dalam pasaran hidrogen hijau, melangkaui ASEAN dan Asia Pasifik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan visi kerajaan negeri mahu menjadikan Sarawak sebagai pemain utama dalam sektor tenaga bersih.
Ini dapat dicapai melalui pengukuhan strategi tenaga bersih dengan teknologi seperti Projek Hibrid Solar-Angin dan Solar-Hidro, yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong pembangunan tenaga mampan.
“Inisiatif hidrogen hijau juga diperkuatkan dengan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) daripada mikroalga serta pengeluaran metanol hijau melalui Kompleks Metanol Sarawak.”
“Dengan kapasiti 1.75 juta tan metrik setahun, Sarawak berhasrat menjadi pengeluar metanol terkemuka dunia.”
“Penyelesaian hibrid dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui menunjukkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan tenaga mampan dan masa depan rendah karbon.”
Beliau menyampaikan ucapan tersebut semasa ucaptama bertajuk “Memperkasakan Penyelesaian Perubahan Iklim Dalam Dunia Yang Berbeza” di Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024, yang diadakan di Raffles City Convention Centre pada Isnin.
Selain itu, Sarawak meneroka sumber tenaga alternatif, seperti biojisim dan tenaga ombak dalam memastikan masa depan yang lebih rendah karbon.
Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong tenaga bersih dan penyelesaian mampan dalam pelbagai sektor industri.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri, yang menyokong aspirasi negeri Sarawak dalam usaha membangunkan tenaga bersih dan mampan.