KUCHING – Sarawak terus memperkukuh kedudukan sebagai hab utama pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) apabila diberi kepercayaan menganggotai dua majlis penting di peringkat nasional tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelantikan Sarawak sebagai ahli Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) dan Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) membuktikan pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap peranan aktif negeri ini dalam pembangunan modal insan.
“Penyertaan Sarawak dalam MTVET yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi membolehkan kita menyelaras keperluan tenaga kerja secara lebih efektif dan sejajar dengan dasar pembangunan negara,” katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Menurutnya, penglibatan dalam MPKM pula membuka peluang kepada anak Sarawak untuk menyertai pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta memperkukuh jaringan vokasional.
Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan, Sarawak turut meneruskan pelaksanaan Industry Continuous Professional Development (iCPD) untuk tahun kedua.
“Tahun ini, iCPD memberi keutamaan kepada latihan Koordinator Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) berikutan pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022 yang mewajibkan pelantikan OSH bagi mana-mana tempat kerja yang mempunyai sekurang-kurangnya lima pekerja,” jelas beliau.
Langkah ini, katanya, penting bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan keselamatan serta mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.
Roland turut memaklumkan bahawa Sarawak kini semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran 4th BIMP-EAGA TVET Conference pada Disember tahun lalu.
Persidangan tersebut, anjuran bersama Sarawak Skills dan BIMP-EAGA, berjaya menarik penyertaan dari pelbagai negara seperti Indonesia, Filipina, Brunei, China, Australia, United Kingdom dan Timor-Leste.
“Sebanyak 21 penceramah antarabangsa hadir berkongsi kepakaran selain pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat (LOI) antara institusi Sarawak dan beberapa negara luar,” katanya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS)






