
SIBU – Program Sarawak Children’s Literature Festival dijangka dapat merangsang minat kanak-kanak dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM). Program ini berlangsung dari 21 hingga 22 September 2024 bertempat di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, menegaskan program ini penting dalam menyediakan maklumat serta menerapkan nilai kesedaran kepada pelajar.
“Penglibatan pelbagai agensi bukan sahaja fokus pada pendidikan, tetapi juga meningkatkan nilai kesedaran terhadap isu penting.
“Program ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menggalakkan penglibatan kanak-kanak dalam bidang STEM dan kepentingan menjaga alam sekitar,” ujar beliau ketika merasmikan Program Sarawak Children’s Literature Festival pada Sabtu.
Selain itu, inisiatif ini juga menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2023 dan diharapkan mendapat sambutan baik daripada murid sekolah rendah.
Sarawak Children’s Literature Festival (SCLF) merupakan acara tahunan Pustaka Negeri Sarawak yang dinanti-nantikan untuk meraikan bakat kanak-kanak dalam pelbagai bidang.
Turut hadir Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak Sibu Fairul Azli Banchit.







