
KENINGAU – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dua beradik termasuk seorang bayi lelaki berumur 2 bulan yang dikhuatiri hanyut dibawa arus deras di sungai di Kampung Dalit, Sook pada Selasa, diteruskan pagi Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Tipah Ashrul, 2 tahun, dan Fadlie Ashrul, 2 bulan itu masih belum ditemukan.
“Operasi ditangguhkan pukul 5.30 petang semalam (Rabu) dan akan diteruskan hari kedua pagi ini dengan kaedah pencarian ‘surface rescue’ bersama agensi lain dan orang awam di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Operasi SAR dengan radius satu kilometer juga turut dibantu pasukan Unit K9 Bomba,” katanya ketika dihubungi, pada Khamis.
Menurut Faisal, 17 anggota bomba terlibat operasi SAR dan maklumat akan disalurkan dari semasa ke semasa.




