
SANDAKAN – Sandakan tersenarai di kedudukan ketiga sebagai destinasi tersembunyi yang wajib dikunjungi oleh pengembara dari rantau Asia-Pasifik (APAC) pada tahun 2025.
Kedudukan ini menempatkan Sandakan dalam kalangan sepuluh lokasi terbaik di rantau APAC yang dianggap sebagai ‘permata tersembunyi’ dan patut diterokai oleh para pelancong.
Menerusi laman web kembara Tripzilla, Sandakan diiktiraf sebagai syurga bagi pencinta alam dan hidupan liar, dengan menawarkan akses ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan ekosistem unik seperti Sungai Kinabatangan.
“Pencapaian ini dijangka memberi impak besar terhadap industri pelancongan tempatan, dengan Sandakan berpotensi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan yang kaya serta unik.
“Dalam masa yang sama, ia membuka peluang untuk mempromosikan Sandakan sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dengan pengiktirafan ini, Sandakan semakin dikenali di peringkat antarabangsa dan diharapkan dapat terus berkembang sebagai destinasi ekopelancongan yang mampan.







