
PUTRAJAYA – Pelesenan media sosial yang akan dilaksana Kerajaan Madani bermula 1 Januari 2025 merupakan langkah tepat dalam memastikan pengendali media platform itu tidak sewenang-wenangnya mendedahkan data peribadi pengguna di Malaysia kepada pihak berkepentingan.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kaedah itu mampu mengubah landskap keselamatan siber negara dalam menangani ancaman ketirisan data dengan lebih efektif dan holistik, meskipun pelaksanaannya dijadikan ‘kontroversi’ oleh sesetengah pihak.
Menurutnya, Malaysia boleh mengambil inspirasi daripada langkah Australia dan Ireland dalam memperkukuhkan kawal selia internet dan media sosial, khususnya bagi menangani isu kritikal seperti ketirisan data, penipuan, buli siber, dan penyalahgunaan maklumat.
“Ketirisan data kini menjadi ancaman besar dalam dunia digital, dengan maklumat peribadi pengguna sering dieksploitasi untuk tujuan penipuan, pencurian identiti, dan penyalahgunaan kuasa. Pelaksanaan lesen media sosial dapat memastikan setiap pengguna mendaftar identiti sah, yang secara langsung membantu mengenal pasti dan mengesan aktiviti mencurigakan.
“Melalui sistem pendaftaran berkenaan, syarikat media sosial diwajibkan untuk melindungi data pengguna dengan lebih teliti, yang sekaligus perkara itu akan mengurangkan risiko ketirisan maklumat peribadi orang ramai kepada pihak tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan kerajaan Australia dan Ireland yang mempunyai undang-undang untuk menyaman syarikat Meta yang memiliki platform Facebook susulan skandal pendedahan data peribadi pengguna.
Terdahulu, Meta, syarikat induk Facebook bersetuju untuk membayar pampasan sebanyak A$50 juta (AS$31.85 juta) kepada badan kawal selia privasi Australia susulan skandal pendedahan data peribadi 311,127 pengguna Facebook kepada syarikat Cambridge Analytica.
Pejabat Pesuruhjaya Maklumat Australia (OAIC) mendakwa bahawa maklumat peribadi beberapa pengguna telah didedahkan kepada aplikasi kuiz personaliti Facebook, This is Your Digital Life, yang mana merupakan sebahagian daripada pelanggaran skandal yang lebih besar.
Suruhanjaya Perlindungan Data Ireland (DPC) pula mengumumkan bahawa ia telah mendenda gergasi teknologi Meta €251 juta (AS$263.7 juta) kerana pelanggaran data peribadi yang menjejaskan 29 juta akaun Facebook di seluruh dunia.
Menurut kenyataan akhbar daripada DPC, pelanggaran yang berpunca daripada kelemahan dalam fungsi muat naik video dalam ciri “View As” Facebook, yang mendedahkan data peribadi sensitif seperti nama penuh, e-mel, nombor telefon dan lokasi pengguna.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, pelesenan media sosial yang dilaksana kerajaan persekutuan memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan pantas terhadap pelaku jenayah siber yang menyalahgunakan data pengguna.
“Dengan identiti yang didaftarkan, sebarang pelanggaran, termasuk pencurian atau penyalahgunaan data, dapat dijejaki dengan pantas, selain dapat memberi tekanan kepada syarikat teknologi untuk memperkuatkan sistem keselamatan data mereka serta mengelakkan insiden ketirisan seperti yang telah melanda beberapa platform utama di peringkat global,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin memaklumkan, langkah diambil kerajaan bukan bersifat drastik mahupun mengongkong kebebasan bersuara, namun strategi dalam mengukuhkan tahap kebertanggungjawaban media baharu terhadap masyarakat menerusi platform terbabit.
Jelasnya, platfom media baharu meraih pendapatan dan keuntungan besar, dan seharusnya bergerak dalam kerangka yang dapat memastikan mereka dalam masa sama, melaksanakan tanggungjawab sosial dan moral.
“Sehubungan itu, lesen media sosial harus dirangka dengan pendekatan holistik, menyeimbangkan antara kawalan ketat dan perlindungan privasi. Manfaatkan Dasar Malaysia’s National Artificial Intelligence (AI) Roadmap dengan membangun teknologi pemantauan canggih yang mampu mengesan ancaman ketirisan data secara proaktif tanpa menjejaskan kebebasan pengguna.
“Terdapat keperluan juga udang-undang perlindungan data diperketatkan oleh kerajaan persekutuan dengan syarikat pengendali platform media sosial diwajibkan mematuhi piawaian keselamatan data antarabangsa. Malaysia berpotensi menjadi perintis dalam membangun ruang digital yang lebih selamat, terkawal, dan inovatif.
“Dengan pendekatan yang adil, telus, dan strategik, negara kita dapat menjadi model unggul dalam menangani ancaman ketirisan data, meningkatkan keselamatan digital negara selain mampu memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap ruang siber yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya.



