AL-HILAL dilaporkan bersedia melancarkan bidaan pada Januari ini untuk mendapatkan Mohamed Salah selepas pemain itu memberi bayangan mahu meninggalkan Liverpool.
Bintang Mesir berusia 33 tahun itu menggemparkan dunia bola sepak selepas melontarkan kritikan keras terhadap kelab dan pengurus, Arne Slot, berikutan keputusan seri 3-3 menentang Leeds – perlawanan ketiga berturut-turut dia diletakkan di bangku simpanan.
Salah mendakwa dirinya seperti ‘dihumban ke bawah bas’ oleh Slot dan pengurusan Liverpool, selain memberi isyarat bahawa kunjungan Brighton ke Anfield pada Sabtu ini mungkin menjadi aksi terakhirnya bersama The Reds.
Selepas perlawanan itu, Salah akan menyertai Mesir bagi kempen Piala Negara-Negara Afrika dan dijangka hanya kembali sekitar pertengahan Januari – tempoh yang membuka ruang untuk perpindahan ke Timur Tengah.
Liga Pro Saudi (SPL) sudah lama mengidamkan khidmat Salah, yang dilihat sebagai pengganti ideal Cristiano Ronaldo dalam liga berkenaan.
Beberapa kelab menunjukkan minat, namun Al-Hilal – yang sudah membawa masuk Darwin Núnez dari Anfield pada musim panas lalu – muncul sebagai pasukan paling berpotensi untuk membuat tawaran rasmi.
Bagaimanapun, nilai perpindahan kali ini dijangka jauh lebih rendah berbanding bidaan setinggi 150 juta pound (RM822 juta) yang pernah diterima Liverpool dua tahun lalu.
Dengan usia Salah yang meningkat dan hubungannya bersama staf serta lembaga pengarah semakin tegang, kelab-kelab SPL yakin mampu mendapatkan penyerang itu pada harga lebih rendah.




