
SARATOK – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di daerah ini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk setempat bahawa terdapat seorang lelaki disyaki penagih dadah di tepi Jalan Kampung Bunga Raya, Saratok.
“Lelaki terbabit berusia dalam lingkungan 30 tahun. Pihak polis telah menahan suspek selepas menerima laporan awal daripada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, suspek telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tujuan saringan air kencing serta pemeriksaan rekod jenayah.
“Saringan awal mendapati suspek positif dadah. Suspek juga memiliki 4 rekod jenayah lampau termasuklah berkaitan narkotik,” tambah beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.






