
PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan berlaku peningkatan mendadak terhadap kes orang hilang di negara ini.
Beliau berkata, berdasarkan data diperoleh dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes membabitkan orang hilang kekal kira-kira 900 insiden setiap tahun.
“Jadi saya katakan, dari 2020 sampai Jun 2024, corak laporan polis terhadap insiden orang hilang ini kekal dengan angka kira-kira 900 orang.
“Daripada kes orang hilang yang dilapor, peratusan ditemui itu tinggi iaitu antara 85 hingga 90 peratus, jadi kekal hilang itu sekitar 10 hingga 15 peratus.
“Ini data terbaru saya dapat daripada JSJ,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.