‎Sabah, Sarawak potensi penentu blok kerajaan – Armizan

PAPAR – Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi blok penentu dalam pembentukan kerajaan susulan perubahan landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

‎Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan PRU15 membuktikan tiada lagi gabungan atau parti tunggal yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian dan stabil.

‎“Kerajaan kini memerlukan gabungan pelbagai parti untuk membentuk majoriti.

‎“Kalau kita lihat keputusan PRU15 dan landskap politik hari ini, sudah tidak ada mana-mana gabungan tunggal atau parti tunggal yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.

‎“Trend ini bukan hanya berlaku pada PRU15, tetapi telah bermula sejak pilihan raya sebelum itu,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Advokasi Kepenggunaan di pekarangan Dewan SMK Pengalat, di sini, pada Sabtu.

‎Menurut Armizan, berdasarkan komposisi semasa Dewan Rakyat, Sabah dan Sarawak yang mempunyai kira-kira 56 kerusi Parlimen berada dalam kedudukan strategik.

‎“Itu adalah realiti. Persoalannya ialah bagaimana kita memanfaatkan kelebihan dalam situasi ini.

‎“Adakah kita mahu terus menjadi penumpang sekadar pelengkap untuk menubuhkan kerajaan, atau mahu menjadi blok kuat yang bukan sahaja membantu membentuk kerajaan, tetapi juga menetapkan agenda utama kerajaan,” ujarnya.

‎Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak telah memulakan langkah ke arah kesatuan politik yang lebih kukuh dengan jumlah kerusi yang besar bagi menentukan kerajaan.

‎“Namun keadaan tersebut masih belum sepenuhnya berlaku di Sabah.

‎“Dalam Pilihan Raya Negeri lalu, majoriti rakyat Sabah telah menunjukkan kecenderungan memilih parti-parti tempatan.

‎“Untuk menjadi satu blok yang kuat, kita perlu mempunyai banyak kerusi. Jika kita masih berpecah sesama sendiri, blok itu tidak akan menjadi kuat.

‎“Kita perlu bertanding dan menang atas satu gabungan kerusi tempatan sebagaimana yang dilakukan oleh Sarawak,” jelasnya.

‎Beliau berkata, suara rakyat yang cenderung kepada parti tempatan masih belum diterjemahkan sepenuhnya dalam tindakan politik pemimpin di negeri ini.

‎“Rakyat sudah bersuara dan membuat keputusan, tetapi pemimpin-pemimpin masih belum bertindak sepenuhnya ke arah itu.

‎“Saya tidak layak menasihati pemimpin lama kerana mereka lebih berpengalaman, namun saya berharap pemimpin muda dapat memberi respons terhadap suara rakyat dalam Pilihan Raya Negeri lalu,” katanya.

‎Tegasnya, matlamat utama bukan sekadar menjadi blok yang kuat dan bersatu, sebaliknya memastikan agenda serta kepentingan Sabah diletakkan sebagai antara agenda teras Kerajaan Persekutuan.

Related Posts

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

TAWAU – Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) terus memperkukuh kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) demi memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Presiden Harapan Rakyat, Tan Sri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

KUANTAN – Semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, dekat Jerantut, memberi keyakinan kepada pimpinan UMNO Bahagian itu menjelang pilihan raya umum (PRU) akan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16