
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah merangka Hala Tuju Strategik Pembangunan Negeri di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan bermula dari tahun 2026 hingga 2030.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini sebagai langkah proaktif memacu ekonomi dan pembangunan negeri yang mengambil kira dasar, pelan pembangunan dan blueprint semasa serta inisiatif-inisiatif utama yang sedang diterokai, termasuk inisiatif Ekonomi Biru.
Katanya, agenda pembangunan negeri di bawah RMK13 juga turut diselaraskan dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals (SDG) bagi memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan lestari seiring dengan komitmen di peringkat nasional dan global.
“Bagi memperkukuhkan inisiatif Ekonomi Biru, Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu, meluluskan penubuhan Taman Perindustrian Ekonomi Biru (Blue Economy Industrial Park (BEIP) di Kudat.
“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat serius dalam membangunkan sektor Ekonomi Biru sebagai sumber baharu ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh seluruh rakyat, khususnya dalam mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk penduduk setempat.
“BEIP dijangka berupaya mentransformasi bahagian utara Sabah, khususnya pekan Kudat, menjadi ‘the new industrial township’ yang berupaya menarik ramai pelabur dalam dan luar negara, menerokai segala potensi berkaitan Ekonomi Biru seperti perikanan, pelancongan marin, farmaseutikal, marikultur dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, pembangunan negeri akan dilaksanakan secara holistik, meliputi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar di bawah RMK13.
Jelas beliau, fokus utama akan diberikan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi melalui tiga sektor ekonomi utama iaitu perindustrian, pertanian dan pelancongan, selaras Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), di samping memperkukuh infrastruktur dan utiliti bagi menyokong sektor-sektor ekonomi ini.
“Pembangunan inklusif merangkumi pembangunan wilayah dan sosioekonomi yang seimbang akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan yang menyeluruh dan adil untuk setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi.
Tambah Hajiji, selain itu, usaha untuk meningkatkan kemampanan sumber asli dan pemeliharaan alam sekitar juga ditekankan bagi menyokong pembangunan yang seimbang dan lestari.
“Dengan hala tuju pembangunan strategik serta pelaksanaan program pembangunan yang berkesan dan teratur, pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan purata antara 3.0 hingga 4.5 peratus dalam tempoh pelaksanaan RMK13.
“Strategi dan pelan pembangunan ini pasti dapat dicapai jika kita bekerja bersungguh-sungguh, berpasukan dengan suasana politik yang stabil, semangat perpaduan dan keharmonian kaum,” katanya.






