KOTA KINABALU – Sabah menjadi negeri pertama melancarkan Program Duta NADI apabila seramai 50 sukarelawan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih menyertai inisiatif julung kali anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan Program Duta NADI merupakan kerjasama strategik antara MCMC, UMS dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dalam usaha memperluaskan akses digital serta meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar terhadap perkhidmatan digital pintar.
Fahmi berkata, para duta NADI akan memainkan peranan penting dalam menyebar luas mesej advokasi MCMC, termasuk Kempen Internet Selamat (KIS), melalui pendekatan akar umbi bersama komuniti dan sekolah berhampiran di kawasan kediaman mereka.
“Kita akan perluaskan kerjasama dengan majlis perwakilan pelajar dari semua Universiti untuk laksanakan program Kempen Internet Selamat di kampus masing-masing biar MCMC akan berhubung dan selaraskan.
“Kita harap duta- duta NADI akan dapat masuk ke dalam komuniti dan membantu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat, sama ada di rumah-rumah ibadat pesatuan penduduk, rukun tetangga agar lebih ramai yang cakna, faham, sedar bahawa bukan semua yang kita lihat dalam internet itu sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Duta NADI di Auditorium Jabatan Digital UMS, di sini pada Khamis.
Jelasnya, para duta NADI juga akan turun ke sekolah rendah dan merengah di seluruh negeri Sabah untuk meningkatkan kesedaran para pelajar agar lebih berhati-hati.
“Pelajar bawah 13 tahun tidak perlu membuka media sosial dan pelajar Tingkatan Satu dan ke atas pula perlu menggunakannya dengan selamat. Itulah mesej utama yang ingin kita sampaikan,” ujarnya.
Beliau berkata, Sabah dipilih sebagai negeri pertama pelaksanaan Program Duta NADI susulan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu capaian internet yang pernah membelenggu negeri ini khususnya semasa tempoh pandemik COVID-19.
Katanya, pemilihan Sabah adalah langkah strategik untuk memperkukuh usaha mempertingkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat, terutama di kawasan luar bandar.
“Jadi kita telah berusaha dengan gigih untuk menyelesaikan sama ada pemasangan manara, pencawang dan juga wifi di kampus.
“Jadi kita lihat sesuai untuk kita teruskan program dengan meningkatkan literasi digital melalui program Duta NADI itulah antara sebab kenapa Sabah dipilih,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata penglibatan mahasiswa sebagai Duta NADI bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti luar bandar, malah turut menjadi nilai tambah penting kepada para peserta dalam membina kerjaya masa depan.
“Dalam beberapa perkara nanti kita akan teliti apa yang boleh kita bantu para duta NADI tetapi keterlibatan mereka dengan MCMC sudah pasti boleh dimasukkan dalam CV mereka nanti waktu mereka nak mencari kerja.
“Kerana ini satu bentuk kesukarelawananan yang dapat membantu masyarakat terutama anak-anak generasi yang akan datang memanfaatkan internet yang laju internet yang murah dengan lebih selamat,” tambahnya.






