
KOTA KINABALU – Perkhidmatan Bas KK Hop-On Hop-Off yang menawarkan 17 perhentian menarik di sekitar bandar raya ini dilancarkan secara rasmi pada Jumaat bagi meningkatkan lagi pengalaman melawat Kota Kinabalu (KK).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew berkata, perkhidmatan ini bakal menjadi tarikan baharu kepada pelancong dan penduduk tempatan untuk meneroka KK dengan lebih mudah, fleksibel dan selesa.
“Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat keunikan Kota Kinabalu mengikut kelapangan mereka sendiri.
“Dengan pelancaran ini, Kota Kinabalu kini menyertai senarai bandar-bandar dunia lain yang menawarkan perkhidmatan Hop-On Hop-Off seperti London, Paris, Kuala Lumpur, serta beberapa destinasi ASEAN,” katanya merasmikan pelancaran bas tersebut di KK Sentral, di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

Jelasnya, laluan bas ini menghubungkan pelbagai lokasi tumpuan utama di bandar raya, antaranya pasar, mercu tanda bersejarah, kawasan tepi laut, pusat makanan dan pusat beli-belah.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman bandar yang melengkapi tarikan sedia ada seperti pulau, kampung budaya dan keindahan alam semula jadi.
“Ia juga menyumbang kepada mobiliti bandar yang lestari, mempromosikan pelancongan inklusif serta menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Pelancaran ini tepat pada masanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan perkhidmatan berkenaan yang ditawarkan pada harga berpatutan dan mesra pelancong serta sesuai untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah KK Hop-On Hop-Off, Datuk Tan Kok Liang berkata, pembelian tiket bas boleh dilakukan dengan dua cara iaitu melalui transaksi dalam talian atau secara tunai.
“Perkhidmatan bas ini turut menyediakan ulasan pengumuman dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Korea dan Jepun.
“Orang ramai boleh layari laman rasmi kami di www.kkhoponhopoff.com untuk mendapatkan maklumat lanjut,” ujarnya.







