
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah mengisytiharkan pada 2 April 2025 sebagai Hari Kelepasan Am tambahan bagi negeri berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengisytiharaan itu dibuat berikutan tarikh ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah pada 30 Mac 2025 (Ahad).
“Oleh yang demikian, hari berikut selepas tarikh ulang tahun rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah akan menjadi hari cuti kelepasan am bagi negeri ini.
“Walau bagaimanapun, memandangkan hari berikutnya juga merupakan hari kelepasan am, maka Kerajaan Negeri menetapkan bahawa 2 April diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi Negeri ini.
“Keputusan ini dibuat selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Jadual Pertama Ordinan Hari Kelepasan (Bab 56),” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.




