
KOTA KINABALU – Sabah mencatat kejayaan besar dalam industri sawit negara apabila sebanyak 97.62 peratus pekebun kecil di negeri itu yang melibatkan lebih 30,000 individu dan 191,000 hektar ladang telah menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian dianggap sebagai penanda aras baharu dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di pasaran global minyak sawit yang kini berdepan tekanan antarabangsa terhadap isu kelestarian dan rantaian bekalan bebas pembalakan.
“Sabah kini kekal sebagai negeri peneraju industri sawit Malaysia dengan 1.48 juta hektar kawasan tanaman dan pengeluaran tahunan melebihi 4.2 juta tan metrik minyak sawit mentah (CPO) dan Sarawak, kedua-dua negeri menyumbang lebih 55 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit negara.
“Pencapaian ini melambangkan kemajuan kolektif kita dan pentingnya kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe sempena Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF2025), di sini, pada Khamis.

Menurut Hajiji, sejak 2015, Kerajaan Negeri menggerakkan Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan (JASPO) yang kini menjadi tunjang kepada usaha mencapai 100 peratus pengeluaran sawit mampan menjelang 2030.
Katanya, pendekatan itu bukan sekadar dasar pentadbiran, tetapi satu mekanisme tadbir urus inklusif yang menyatukan semua pihak dalam rantaian nilai daripada pekebun kecil, pengilang, hingga ke pembuat dasar di bawah satu kerangka piawaian bersama seperti MSPO, RSPO dan Peraturan Pembalakan EU (EUDR).
Hajiji turut menekankan peranan kritikal pekebun kecil dalam industri ini, yang menyumbang lebih 27 peratus kepada pengeluaran minyak sawit Sabah.
“Ini bukan sekadar angka hektar atau tan metrik tetapi ia tentang nasib dan perubahan hidup ribuan rakyat.
“Industri sawit telah menyara lebih 300,000 rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung, termasuk 85,000 pekebun kecil,” katanya.
Menurut Hajiji, kejayaan ini bukan berlaku sekelip mata tetapi hasil daripada puluhan tahun komitmen dan kerja keras seluruh ekosistem industri dari ladang ke pasaran global.
Tambah beliau, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, industri ini juga telah membuka jalan kepada pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan raya, sekolah, klinik dan jaringan digital sesuatu yang suatu ketika dahulu sukar diimpikan.





