
KOTA KINABALU – Sebanyak 320 kes pelanggaran undang-undang direkodkan menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di seluruh negara sepanjang tempoh operasi bermula 16 Mac hingga 19 April 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 18,261 pemeriksaan telah dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
“Daripada jumlah kes tersebut, kes rampasan barangan kawalan melibatkan diesel (138 kes), petrol (77 kes), LPG (41 kes), minyak masak (35 kes), gula (22 kes) dan tepung gandum (7 kes).
“Seramai 85 individu telah ditangkap bagi membantu siasatan. Ini adalah isyarat tegas kerajaan terhadap pihak yang cuba mengaut keuntungan haram atas subsidi rakyat,” katanya dalam nota percakapan media, di sini pada Isnin.
Menurut Fadillah, kejayaan operasi itu merupakan hasil kerjasama strategik pelbagai agensi penguatkuasaan di bawah konsep operasi bersepadu.
“Daripada 320 kes yang direkodkan, sebanyak 185 kes adalah melalui operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN.
“Sementara itu, sebanyak 135 kes merupakan hasil serahan agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) menyumbang kes serahan tertinggi iaitu 74 kes.
“Pasukan Polis Marin (PPM) sebanyak 36 kes serahan, PDRM sebanyak 19 kes serahan, Lain-lain kes serahan melibatkan sinergi pelbagai agensi seperti APMM, AKPS, JIM, JKDM, JPJ, ESSCOM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya.
Tambahnya, Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi di seluruh Malaysia dengan 82 kes, manakala Wilayah Persekutuan Labuan menyumbang dua kes.
Kongsinya lagi, penguatkuasaan di kedua-dua wilayah itu turut berjaya merampas 102,144 liter diesel; 23,907 liter petrol; 9,605 kilogram (kg) minyak masak; 3,726 kg LPG dan 198 kg gula.




