
NGA Kor Ming membidas tindakan pembangkang yang tidak menyokong Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 selepas undang-undang itu ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, sangat tidak wajar pihak yang sebelum ini menyokong kini mengambil pendirian untuk membantah pelaksanaan RUU itu.
“PSB ini bukanlah perkara baharu yang dibawa oleh kerajaan hari ini. Malah, garis panduan PSB sudah wujud sejak 2012 dan kerajaan-kerajaan sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk meluluskan akta ini demi membantu rakyat yang terkesan ketika mereka mentadbir.
“Namun kini, apabila berada di blok pembangkang, mereka menukar pendirian dan memutarbelitkan RUU ini. Seharusnya mereka bersikap jujur dan tidak mempolitikkan isu yang berniat suci murni ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu hari ini, perbahasan RUU PSB 2025 ditunda ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang selepas berdepan penolakan kuat daripada wakil rakyat pembangkang dan beberapa dalam kalangan pemerintah, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional.
Kor Ming telah membentangkan usul RUU PSB sebelum terpaksa akur dengan arahan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang meminta beliau menangguhkannya kepada persidangan akan datang dengan alasan mesyuarat hari ini tamat pada pukul 5.30 petang.






