
KERAJAAN sedang menyiapkan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting susulan peningkatan ketara jenayah penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian melebihi RM2.9 bilion pada 2025.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menjelaskan kerugian itu mencatat peningkatan lebih 86 peratus berbanding RM1.574 bilion pada 2024.
“Penggubalan RUU Jenayah Siber ini bagi mengatasi kelompangan undang-undang sedia ada dalam menangani ancaman jenayah siber, sekali gus memperkasa keupayaan penguatkuasaan dan melindungi keselamatan siber negara serta hak pengguna di ruang digital.
“RUU Jenayah Siber mengambil pendekatan yang lebih holistik dan terkini dengan memasukkan peruntukan yang akan merangkumi kedua-dua jenis jenayah siber iaitu jenayah berbantu siber dan jenayah bersandarkan siber.
“Penggubalan RUU Jenayah Siber ini menekankan prinsip ‘technology-neutral’ sebagaimana diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, penyalahgunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) kini digunakan dalam modus operandi penjenayah siber, dengan teknologi ‘deepfake’ mampu menimbulkan kerugian serius kepada mangsa.
Tambahnya, dalam konteks peperangan hibrid, teknologi ‘deepfake’ boleh menjadi alat utama dalam operasi maklumat yang menyalurkan maklumat palsu atau salah (MDM) bagi memanipulasi persepsi dan mempengaruhi sokongan antarabangsa.
“Konflik Rusia-Ukraine membuktikan bahawa deepfake dan MDM sudah menjadi komponen utama dalam peperangan maklumat yang mana manipulasi maklumat digunakan untuk membentuk persepsi, melemahkan moral dan mempengaruhi sokongan antarabangsa.
“Dalam hal ini, pelbagai tindakan strategik sudah, sedang dan akan diambil oleh semua pihak berkepentingan dalam memastikan ancaman ini ditangani secara komprehensif,” katanya.
Beliau berkata, Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854) yang berkuat kuasa pada 26 Ogos 2024, bertujuan memperkukuh keselamatan siber negara melalui pelaksanaan fungsi keselamatan siber secara berkesan.
Ahmad Zahid menegaskan, keselamatan digital perlu dianggap sebagai elemen strategik dalam mengekalkan kestabilan negara serta melindungi kepentingan ekonomi dan sosial rakyat.
“Jemaah Menteri pada 14 Januari lalu juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) melalui pemusatan fungsi keselamatan siber dan kriptologi.
“CSCDC akan menjadi pelengkap kepada pembentukan ekosistem keselamatan ruang siber negara yang terangkum, berdaya tahan, berdaya saing dan berdaulat,” katanya.
Beliau berkata, untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan digital negara, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri sedang menyusul tindakan berkaitan teknologi AI, awan berdaulat (sovereign cloud) dan keselamatan pasca-kuantum (post-quantum security).
Katanya, langkah itu termasuk pembangunan Garis Panduan Keselamatan Siber AI berasaskan prinsip ‘secure-by-design’, memperkukuh keselamatan kriptologi dan meningkatkan kesiapsiagaan pasca-kuantum melalui kerjasama Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM).





