
MALAYSIA dan Rusia terus komited dalam melaksanakan pelbagai projek strategik antara kedua-dua negara, termasuk kerjasama dalam bidang teknologi makanan, tenaga nuklear dan pertahanan.
“Kami akan memastikan bahawa kerjasama itu meliputi semua bidang,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin pada Rabu.
Anwar menyatakan komitmen bahawa Rusia akan terus menjadi rakan akrab Malaysia, dengan hubungan diplomatik yang telah wujud sejak tahun 1967.
“Sudah banyak perbincangan dan memorandum persefahaman (diadakan), jadi telah sampai masanya kerjasama itu direalisasikan secepat mungkin,” ujar beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei.
Menurut Anwar, pertemuan bersama Putin amat penting, susulan perbincangan mendalam telah diadakan bersama pemimpin industri dan komuniti perniagaan mengenai pelaburan dalam bidang digital, peralihan tenaga, teknologi makanan, tenaga nuklear dan pertahanan.
Dalam pertemuan itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Putin atas penghormatan serta peluang untuk berbincang secara langsung mengenai isu-isu penting, demi memperkukuh hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita berbincang dengan panjang lebar (dan) anda telah memberikan kami keistimewaan dan penghormatan yang jarang berlaku. Rusia adalah sebuah negara yang hebat dan sangat penting yang memberikan kami penghargaan sedemikian.
“Dan delegasi saya, sudah tentu, amat menghargainya,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai isu penting telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut dan menyifatkannya sebagai amat bermanfaat.
“Kami berharapkan kejayaan dalam mesyuarat dan perbincangan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang ini,” katanya.







