Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia capai beberapa persetujuan

JAKARTA – Malaysia dan Indonesia mencapai beberapa persetujuan penting dalam Rundingan Tahunan ke-13 yang berlangsung di Jakarta, hari ini.

Perkara itu termasuk isu sempadan, peluasan kerjasama ekonomi serta usaha mempercepat pelaksanaan projek tenaga baharu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, antara pencapaian utama rundingan berkenaan ialah pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) merangkumi isu sempadan termasuk Pulau Sebatik serta kesihatan, maklumat dan komunikasi, selain tadbir urus internet.

“Kami menyentuh pelbagai isu penting termasuk sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion, kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara (IKN), serta kemudahan akses rentas sempadan yang lebih lancar di Entikong,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas rundingan berkenaan, hari ini.

Entikong ialah pekan di Kalimantan Barat, Indonesia, yang bersempadan dengan Tebedu, Sarawak.

Anwar berkata, pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berteraskan semangat tulen untuk memperkukuh kesejahteraan serantau.

Perdana Menteri berkata, hasrat Malaysia ialah untuk menjadi rakan pembangunan yang jujur dan amanah dalam pelbagai bidang, termasuk tenaga boleh baharu – dengan Sarawak sebagai hab eksport infrastruktur, perumahan, pendidikan dan teknologi.

Perbincangan isu sempadan laut ambil kira undang-undang antarabangsa

Mengenai isu sempadan laut di Laut Sulawesi, Anwar menjelaskan perbincangan dijalankan berasaskan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Undang-undang Laut PBB (UNCLOS), serta kepentingan kedua-dua negara.

“Semangat kita ialah untuk menjaga kepentingan masing-masing sambil menghormati garis sempadan ditetapkan mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kita teruskan dengan semangat itu supaya tiada ketegangan,” katanya.

Dalam soal keselamatan, Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia bersetuju meningkatkan kerjasama melalui kerangka Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Beliau berkata, keutamaan Malaysia kekal pada keselamatan strategik di Selat Melaka dan Laut China Selatan, sambil mengingatkan nasib rantau ini perlu ditentukan rantau ini sendiri, bukannya kuasa luar.

Berhubung gesaan segelintir pihak di Indonesia supaya Malaysia membantu dalam isu membabitkan ahli perniagaan Indonesia, Mohd Riza Chalid, Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan mengikut kerangka undang-undang.

“Setakat ini, kita hanya dimaklumkan secara umum dan belum menerima sebarang keterangan jelas berhubung perkara terbabit.

“Namun, kita bersedia memberikan kerjasama penuh kerana Malaysia dan Indonesia ialah negara sahabat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Riza yang dinamakan pihak berkuasa Indonesia sebagai suspek kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah PT Pertamina bagi tempoh 2018 hingga 2023, didakwa kini berada di Malaysia.

Related Posts

LTSIP pacu ekonomi Kelantan, buka laluan terus ke hab ASEAN

Oleh: Siti Nur Asyikin Mohd Rosli KOTA BHARU – Projek Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang dinaik taraf dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Kelantan apabila ia berfungsi sebagai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina, individu disiasat

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina. Menurut MCMC, pihak berkuasa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

LTSIP pacu ekonomi Kelantan, buka laluan terus ke hab ASEAN

LTSIP pacu ekonomi Kelantan, buka laluan terus ke hab ASEAN

Sebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina, individu disiasat

Sebaran berita palsu pembekalan diesel ke Filipina, individu disiasat

KPTNS kekal platform pilihan utama penggiat seni Sabah

  • By Ynom
  • April 18, 2026
KPTNS kekal platform pilihan utama penggiat seni Sabah

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

Sektor swasta pemacu utama Ekonomi MADANI – PM

Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

Kawalan akaun media sosial perlu, elak risiko dalam talian kanak-kanak – Pengamal undang-undang

Angkut ‘si manja’ balik kampung, pemilik kongsi pengalaman dan cabaran

Angkut ‘si manja’ balik kampung, pemilik kongsi pengalaman dan cabaran