
PARTI Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis dan menggesa siasatan segera terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, susulan satu hantaran di media sosial yang didakwa berunsur penghinaan serta bersifat provokatif terhadap pemimpin negara.
Hantaran berkenaan, yang dimuat naik pada 26 Julai lalu melalui akaun Facebook Fadhli Shaari, memaparkan sebuah karikatur berbentuk haiwan yang dipercayai menyindir Perdana Menteri dan usaha diplomatik Malaysia dalam menangani konflik serantau, khususnya antara Thailand dan Kemboja.
Pengarah Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni menyifatkan tindakan Ketua Penerangan Pas Pusat itu sebagai tidak profesional, tidak matang dan bercanggah dengan prinsip Islam yang menggalakkan perdamaian.
“Karikatur tersebut jelas menghina dan memperlekehkan usaha Perdana Menteri Malaysia yang kini mempengerusikan ASEAN dalam usaha mendamaikan konflik antara dua negara jiran. Ia suatu perbuatan yang tidak wajar dan mencalar imej negara di mata dunia,” katanya dalam sidang media di Ipoh.
Tambahnya, inisiatif diplomatik Malaysia itu telah mendapat pengiktirafan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, namun malangnya disindir oleh seorang pemimpin politik negara sendiri.
Laporan polis berkenaan difailkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Selasa oleh wakil Pemuda Amanah Negeri, Angkatan Muda Keadilan (AMK), serta NGO termasuk Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Negeri Perak dan Persatuan Patriotik Rakyat Perak.
Mohd Fitri turut menegaskan bahawa Ahmad Fadhli sebagai pemimpin beragama sewajarnya menjadi contoh dalam menjunjung nilai perdamaian, bukannya menyemarakkan kebencian melalui sindiran yang tidak bertanggungjawab.
“Ini bukan sahaja satu penghinaan kepada Perdana Menteri, tetapi juga kepada pemimpin Thailand dan Kemboja. Ia boleh menjejaskan hubungan diplomatik dan mencetuskan ketegangan serantau,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, wakil WADAH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim turut menyuarakan sokongan terhadap laporan polis yang dibuat, sambil menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap Ahmad Fadhli.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berlainan, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, menggesa agar kenyataan itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, memandangkan ia dibuat oleh seorang wakil rakyat yang masih memegang jawatan rasmi.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja biadap serta tidak bertanggungjawab, malah memberi gambaran buruk terhadap wibawa kerajaan dan kepimpinan negara.
“Malah mencerminkan sikap politik yang tidak matang dan menjatuhkan maruah institusi Parlimen serta peranan seorang wakil rakyat,” katanya.
Ujar beliau lagi, sekiranya perkara seperti ini terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan, ia akan menyuburkan budaya politik celupar dan memburukkan imej negara di mata dunia.





