PUTRAJAYA – Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mencadangkan kerajaan Terengganu dan Kelantan segera berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Beliau berkata, projek itu penting untuk menghubungkan dua negeri tersebut secara terus sehingga ke sempadan Thailand, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi selain memendekkan masa perjalanan.
“Dengan LPT1 dan LPT2, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu hanya mengambil masa sekitar empat hingga lima jam sahaja.
“Jika LPT3 disambung terus ke Tumpat sehingga ke sempadan Thailand, masa perjalanan hanya sekitar satu jam setengah lagi.
“Ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negeri serta meningkatkan potensi perdagangan rentas sempadan,” katanya melalui satu kenyataan.
Khairuddin berkata, walaupun kos pembinaan LPT3 dianggarkan kira-kira RM10 bilion dan ‘mencabar dari sudut daya saing’, namun ia boleh memainkan peranan untuk jangka panjang.
“Kerajaan boleh membuka ruang melalui mekanisme ‘Request for Proposal’ (RFP) agar syarikat swasta yang berminat dapat menyertai proses perundingan.
“Walaupun kadar tol dijangka sekitar RM70, ia tetap satu pelaburan jangka panjang yang strategik bagi melonjakkan ekonomi wilayah Pantai Timur,” ujarnya.






