
MIRI — Warga Miri dijemput hadir memeriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Parlimen Miri yang akan diadakan pada 18 Februari ini di Eastwood Valley Golf dan Country Club, Miri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dalam satu kenyataan berkata, sambutan dianjurkan sebagai platform untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini, selaras dengan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras komuniti Miri.
Majlis berkenaan akan berlangsung pada Rabu, 18 Februari ini, bermula jam 5 petang hingga 8 malam di Musical Corridor 2, Eastwood Valley Golf dan Country Club.
Menurut beliau, orang ramai digalakkan hadir bersama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baharu Cina, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dan muhibah antara masyarakat.
“Sambutan ini bukan sekadar perayaan, tetapi juga ruang untuk kita saling bertegur sapa, bertukar pandangan dan mengukuhkan lagi perpaduan warga Miri,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar kehadiran masyarakat pelbagai lapisan akan menyerlahkan lagi semangat harmoni dan kerjasama yang telah lama menjadi kebanggaan penduduk Miri.
Rumah terbuka tersebut dijangka menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh kemeriahan dan semangat Tahun Baharu Cina.






