
TAWAU – Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) mampu membantu membawa rakyat Sabah yang tergolong dalam e-kasih keluar dari kepompong kemiskinan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkara ini dibuktikan menerusi keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang memperuntukkan tambahan rumah SMJ pada tahun hadapan.
“Alhamdulillah hasil sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah hari ini, pendapatan negeri meningkat dan hasil ini dikembalikan pada rakyat.
“Impian rakyat tercapai apabila Program Rumah Mesra ini dilaksanakan memandangkan ia merupakan satu inisiatif pelan hala tuju SMJ dan banyak membantu akar umbi.
“Saya bersyukur kerana banyak bantuan diberikan kepada seluruh rakyat selain inisiatif memperkasa modal insan,” katanya kepada media selepas membuat penyerahan kunci Program Rumah SMJ di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas di sini pada Jumaat.
Menurut Nizam, 34 buah rumah yang diserahkan hari ini termasuk kuota pada 2023 dan tujuh buah rumah lagi dalam proses pembinaan dan akan siap akhir tahun ini.







