
PUTRAJAYA – Menerusi Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada tiga universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memperkasakan bidang kecerdasan buatan (AI) sekaligus menunjukkan keseriusan Malaysia membangunkan teknologi tersebut bermula daripada pendidikan tinggi.
Bercakap kepada The Malaysia Press, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, menerusi pembangunan fakulti AI atau kecerdasan buatan dan penubuhan rangkaian ‘Malaysia Artificial Intelligence Nexus’ (MY AI Nexus) telah menyelaraskan pengintegrasian teknologi AI dengan setiap kursus pembelajaran yang ada di institut pengajian tinggi.
“Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sekarang ini telah diwujudkan fakulti AI yang pertama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) namun bukan sekadar kewujudan fakulti itu, tetapi selari dengan kewujudan tersebut, kita juga membina rangkaian di universiti awam dan swasta yang menyokong fakulti AI di UTM yang dipanggil MY AI Nexus.

“Di mana ia ialah rangkaian universiti-universiti yang juga akan menubuhkan fakulti AI masing-masing mengikut kepakarannya. UTM sebagai ‘leading’, universiti lain menyokong dan mereka diberi peranan mengikut ‘niche area’ (bidang kepakaran) masing-masing.
“Sebagai contoh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia diminta fokus kepada memastikan AI yang beretika, Universiti Malaya memfokuskan kepada AI perubatan, Universiti Putra Malaysia fokus kepada pertanian dan keterjaminan makanan serta ‘quantum computing’ yang berfokus melahirkan saintis-saintis yang pakar dalam bidang ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, walaupun teknologi kecerdasan buatan (AI) masih lagi diklasifikasikan sebagai teknologi baharu dan sedang berevolusi dengan pantas namun sistem pendidikan di Malaysia sudah lama bersedia untuk membangunkan teknologi tersebut.
Beliau berkata, menerusi kajian yang mendalam di institut-institut pengajian tinggi, sememangnya pembelajaran berkaitan kecerdasan buatan sudah lama wujud seperti kejuruteraan perisian namun tidak ‘dijenamakan’ sebagai AI sahaja dan tugasnya kini hanya membuat penyusunan semula kursus menerusi MY AI Nexus.
“Kita tidak ketinggalan sebenarnya tetapi kita mahu selaraskan ia dengan teknologi baharu itu sahaja. Tetapi dari segi asas itu sudah ada tetapi ia tidak disusun, melalui MY AI Nexus itu kita susun dan dapatkan laporan-laporan daripada universiti apa kursus yang ditawarkan, memang sudah ada sebenarnya tetapi tidak disebut AI sahaja, namun elemen-elemennya sudah ada.
“Ini antara kekuatan kita, cuma apabila bercakap dengan pihak industri, antara yang perlu ditingkatkan adalah ‘niche area’ kerana teknologi baharu memerlukan daya fikir yang agak tinggi dan yang kedua ialah penguasaan bahasa terutamanya bahasa Inggeris dalam kalangan Bumiputera, kena tingkatkan penguasaan itu terutama melibatkan bahasa-bahasa teknologi.
“Tetapi industri mahu graduan yang menyakinkan dan akan menjadi nilai tambah kepada mahasiswa. Dengan adanya strategi dan metodologi yang tepat, kita boleh ke depan dengan kekuatan yang kita ada,” katanya.
Tambah Mustapha, walaupun kehadiran teknologi AI itu mungkin mengancam beberapa pekerjaan sedia ada, namun dengan penglibatan semua profesion pekerjaan dengan teknologi baharu sudah semestinya akan menjadi nilai tambah kepada semua graduan untuk sama-sama berevolusi dengan perkembangan teknologi.
“Kita bagi satu dimensi baharu bahawa 260,000 jawatan bakal hilang, sebenarnya ini adalah peluang untuk buat transformasi kepada jawatan itu, sebagai contoh walaupun berada dalam bidang pendidikan Islam seorang ustaz perlu belajar dengan teknologi kerana untuk memudahkan menyampaikan dakwah, pengajaran dan bergerak dalam masyarakat melalui dimensi baharu.
“Teknologi akan terus bertukar dan berkembang, dan apa yang akan bertahan iaitu nilai dan etika, yang itu adalah asas. Nilai agama akan kekal selama-lamanya, yang penting ialah bagaimana kita mengintegrasi teknologi baharu ini dengan kursus yang ada di IPT, bagaimana kita gunakan teknologi baharu untuk kembangkan profesion kita,” ujarnya.




