
SIBU – Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee merangkap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Nangka mengingatkan agar pemilik kediaman rumah mampu milik di Kampung Datu Baru tidak menjual rumahnya kepada pihak ketiga.
Menurutnya, dalam Seksyen 18 jelas mengatakan bahawa apa-apa urusan pertukaran hak milik kediaman tidak dibenarkan sama sekali.
“Jika ia melibatkan pemindahan nama kepada waris, perlu mendapatkan kelulusan daripada pengarah Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.
Terdapat isu yang dibangkitkan oleh pemilik rumah kediaman tersebut. Antaranya saiz rumah yang berukuran 850 kaki persegi berserta tiga bilik dan dua bilik air tersebut terlalu kecil bagi yang berkeluarga besar.
Menurut Dr Annuar, kos pembinaan rumah mampu milik adalah RM250,000 tetapi Kerajaan Sarawak hanya mengenakan bayaran sebanyak RM150,000 dan sekaligus menjadikan elemen subsidi sebanyak RM100,000.
Jelasnya lagi, jika ingin membuat rumah yang bersaiz lebih besar akan banyak elemen subsidi yang akan terlibat dan berkemungkinan pemilik rumah tidak akan menerima pampasan dalam bentuk tunai.
Selain itu, bagi pertanyaan mengenai pengubahsuaian rumah di kawasan tersebut, Dr Annuar menyatakan bahawa Majlis Perbandaran Sibu (MPS) hanya meluluskan tiga jenis pelan ubah suai bagi penyeragaman reka bentuk supaya kekal kemas dan teratur.
“Oleh yang demikian segala pengubahsuaian rumah memerlukan kelulusan daripada pihak MPS,” ujarnya.