
RANAU – Sebuah rumah inap desa rosak teruk selepas terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cinta Mata, Kundasang, di sini pada petang Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada pukul 5.32 petang.
“Pasukan bomba yang tiba pada pukul 5.55 petang bagaimana pun mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa terlibat dalam kejadian itu.
“Tiada penghuni dilaporkan menginap sewaktu bencana tersebut berlaku di kawasan berkenaan.
“Seramai tiga anggota bomba yang tiba di lokasi bersama sebuah jentera kemudian bertindak membuat pemantauan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu pada Khamis.
Menurut Ridwan, pasukan bomba seterusnya menasihati penduduk sekitar untuk berpindah ke tempat selamat.
“Setelah keadaan dipastikan selamat oleh pasukan bomba, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 6.06 petang,” katanya.







