
PITAS – Daerah Pitas hari ini diisytiharkan kawasan bencana banjir yang serius berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Menurut Penolong Pegawai Daerah Pitas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas, Asdi@Mohd Faizal Hussin berkata, penduduk di kawasan terjejas diminta segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan.
“Sebagai langkah keselamatan penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
“Bantuan kecemasan seperti makanan, tempat tinggal dan perubatan akan disediakan oleh PPS yang ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, pihaknya meminta semua memberi kerjasama penuh kepada petugas penyelamat dan agensi terlibat dalam usaha menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kesan bencana ini.
Pengisytiharan bencana dibuat pada pukul 2.42 petang pada Jumaat.





