
KALABAKAN – Calon PH DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi berhasrat membangun Sekolah Menengah Islamiah 2 di kawasan Merotai bagi memastikan generasi muda di kawasan itu mendapat pendidikan berkualiti dan berlandaskan nilai agama.
Beliau berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk memajukan pendidikan dan membina masa depan anak-anak Merotai sekiranya di beri mandat.
“Sekiranya saya jadi wakil rakyat saya akan perjuangkan Merotai ini ada SM Islamiah baharu kerana permintaan di SM Islamiah Tawau itu tinggi, ramai tidak dapat masuk.
“Sekarang kesedaran agama makin tinggi jadi kalau dapat Kerajaan Persekutuan pertimbangkan SM agama iaitu Islamiah 2 di Merotai,” katanya kepada media di Merotai, pada Jumaat.
Mengulas kerjasama kempen PHBN dan GRS, Ruji berkata, sokongan padu daripada parti itu serta parti komponen semakin meningkat sejak hari pertama kempen.
“Alhamdulillah sejak awal kita kerjasama dengan PHRS di bawah Tan Sri Liew Yun Fah dan PGRS iaitu Cikgu Jailani bersama jenteranya yang sebahagian daripada GRS dan momentum itu semakin meningkat.
“Tiga hari lepas perjumpaan dalam kalangan pemimpin dan anggota begitu juga dengan BN saya berhubung dengan Ketua Bahagiannya dan merancang untuk membuat bersama program-program.
“Jadi saya tidak ragu lagi dengan kerjasama yang begitu erat sangat utuh dan kukuh jadi kita selangkah lagi untuk kejayaan calon PH,” ujarnya.








