
TAWAU – Calon PH Sri Tanjong, Philip Yap Wui Lip menyelar kenyataan calon Warisan, Justin Wong yang didakwa menipu dan memutar belit fakta sebenar dirinya melompat ke Warisan dari DAP.
Menurut Philip, Justin dalam sebuah video mengatakan meninggalkan PH kerana mahu PH menyertai GRS, walaupun hakikatnya Justin meninggalkan DAP pada 20 Januari 2022.
“PH hanya menyertai kerajaan Sabah selepas kegagalan ‘Operasi Kota Kinabalu’ pada 5 Januari 2023 iaitu jarak masa hampir setahun membuktikan dakwaan beliau (Justin) direka-reka.
“Tindakan Justin yang berbohong tanpa rasa malu jelas menunjukkan sifat beliau yang cenderung kepada penipuan,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Jelas Philip, selepas Justin lompat parti, segala masalah dan beban kerja yang ditinggalkan dipikul sepenuhnya oleh pasukan DAP Tawau.
Katanya, kaunter khidmat setiap Ahad di Pasar Sin On, program komuniti & sambutan budaya, menyelesaikan setiap masalah rakyat dan mendengar setiap suara, menonjolkan DAP Tawau tidak pernah meninggalkan pengundi Tawau.
Justeru, beliau menyeru pengundi agar menilai watak sebenar Justin sebelum membuat pilihan pada 29 November ini.
“Rakyat Tawau tidak buta. Mereka paling tahu siapa yang benar-benar bekerja, dan siapa yang hilang entah ke mana.
“Kami tidak patah semangat. Malah, tindakan beliau menjadikan kami lebih teguh.
“Ahli politik sebenar bukan muncul sebelum pilihan raya dan hilang selepas menang.
“Tiada drama, tiada bersembunyi dan sentiasa turun padang, inilah kepimpinan sebenar,” tegasnya.








