
TAWAU – Walaupun ada yang menganggap Datuk Ruji Ubi bukan nama besar dalam politik, hakikatnya beliau bukan orang baharu dalam soal bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.
Ruji, bekas Ketua Setiausaha (KSU) beberapa kementerian merupakan antara pegawai tertinggi kerajaan yang telah teruji kemampuan dan prestasinya sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Ruji banyak berkorban dan walaupun sudah berjaya, beliau tetap kembali ke kampung halaman untuk menabur bakti.
“Dia (Ruji) buat kerja dan dipilih sendiri oleh Perdana Menteri kerana ‘performance’ dia bagus untuk bantu Sabah.
“Kalau saya di tempat dia, bergaji puluh ribu, rumah disediakan kerajaan, keluar rumah ada pemandu dan ramai pegawai bawah saya, saya takkan susah-susah masuk politik,” katanya semasa berucap pada Program Rapat-Rapat Bah di Kampung Sungai Imam, pada Sabtu.

Menurutnya, Ruji yang berasal dari Kampung Matahir kini mahu menumpukan usaha membangunkan Merotai, kawasan yang menjadi nadi perjuangannya.
“Beliau sudah berjaya tapi kini mahu membina Merotai. Inilah contoh pemimpin yang ada hati dan jiwa rakyat. Kita kena bagi satu peluang sama dia,” katanya.
Sementara itu, Ruji semasa berucap pada program itu menyatakan beliau kembali ke Tawau atas permintaan Perdana Menteri sendiri berikutan pengalaman luasnya mengurus beberapa kementerian besar di peringkat persekutuan.
Katanya, dengan pengalaman sedemikian, beliau mahu menggunakan jaringan dan pengetahuan itu untuk memastikan Sabah turut menerima limpahan manfaat pembangunan yang besar.







