
MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin diberitahu bahawa Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad meminta syarikat Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB) membayar wang berjumlah RM19 juta secara ‘lump sum’ selepas syarikat itu memperoleh projek tender berkaitan perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pegawai Operasi NSB, Azman Kamaruddin, 45, berkata, Pengarah Urusan syarikat itu, Wan Azhar Mohamed Yusof, memaklumkan kepadanya bahawa Sayed Amir Muzzakkir, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, meminta ‘portion’ lima peratus daripada nilai projek tender terbuka Pra-Kelayakan, Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM.
Azman berkata, nilai kontrak tender berkenaan adalah berjumlah RM381 juta.
“Wan Azhar turut maklumkan kepada saya bahawa tujuan pembayaran ‘portion’ lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir adalah kerana syarikat NSB telah memperoleh projek tender tersebut.
“Saya tidak tahu berkaitan saluran atau melalui syarikat mana untuk pembayaran ‘portion’ lima peratus ini,” katanya menerusi pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Sayed Amir Muzzakkir, 43, yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM350,000.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, pada peringkat awal, Wan Azhar memaklumkan kepadanya bahawa Sayed Amir Muzzakkir meminta bayaran ‘portion’ lima peratus itu dibuat secara ‘lump sum’ selepas tiga atau empat bulan dari tarikh Surat Setuju Terima, yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM19 juta.
“Namun, Wan Azhar tidak setuju untuk membuat bayaran secara ‘lump sum’ kerana syarikat NSB tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar sejumlah wang RM19 juta kepada Sayed Amir Muzzakkir.
“Oleh sebab itu, Wan Azhar mencadangkan untuk membayar kepada Sayed Amir Muzzakkir secara berperingkat,” katanya.
Azman turut memberitahu mahkamah bahawa pada awal 2021, Wan Azhar memaklumkan kepadanya bahawa beliau pernah berjumpa dengan Sayed Amir Muzzakkir, namun beliau tidak mengetahui berapa kali pertemuan tersebut berlaku dan tujuan perjumpaan itu kerana beliau tidak terlibat dalam pertemuan berkenaan.
“Saya percaya bahawa Sayed Amir Muzzakkir yang membantu syarikat NSB untuk mendapatkan tender projek tersebut kerana dia merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu. Oleh demikian, Wan Azhar terpaksa membayar Sayed Amir Muzzakkir.
“Berkaitan dengan bayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir, saya hanya dimaklumkan oleh Wan Azhar bahawa pembayaran telah dibuat tetapi saya tidak tahu secara terperinci setakat mana bayaran telah dibuat.
“Saya sahkan bahawa hanya Wan Azhar yang menandatangani cek atau meluluskan bayaran ‘online’ untuk pembayaran kepada Sayed Amir Muzzakkir. Saya tidak pernah terlibat dalam urusan pembayaran ‘portion’ lima peratus kepada Sayed Amir Muzzakkir,” katanya.
Menurut Azman, beliau bertindak sebagai pengarah projek berkaitan tender RMPNet PDRM dan terlibat dalam penyediaan dokumen tender Pra-Kelayakan (Pre-Q) serta tender RMPNet bersama pekerja-pekerja lain.
“Selepas itu, saya yang menghantar dokumen tender ke Kementerian Dalam Negeri pada awal tahun 2020. Selain itu, saya bertanggungjawab memastikan segala operasi di lapangan berjalan dengan lancar dan ditugaskan mengawal selia proses penyediaan sebut harga serta proses tuntutan kepada pihak PDRM,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi, Fatin Farhana Ismail dan Atirah Mohd Azuarizanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Md Yunos Shariff dan Asmadi Hussin.
Pada 23 Mei 2024, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.
Wang tersebut didakwa sebagai upah untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembekalan Alat Ganti bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian dan Radio Pengguna Sistem RMPNet untuk PDRM bernilai RM381,112,042.44.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pada jam 4 petang, 4 Disember 2020 dan pada jam 3.30 petang, 16 Disember 2020.
Beliau turut dituduh meminta suapan berjumlah RM350,000 daripada individu sama bagi tujuan yang serupa di pejabat Nexuscorp Group Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Seksyen 7, Shah Alam, pada jam 4 petang awal Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.




