
SEBANYAK lebih RM87 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan bagi menyelesaikan tuntutan Skim Khairat Kematian (SKK) di bawah Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga Disember tahun lalu, menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu waris penerima yang terkesan dengan kehilangan ahli keluarga.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tuntutan itu membabitkan 71,000 penerima STR atau pasangan serta 16,000 pasangan yang meninggal dunia sepanjang tahun 2024.
Bagi tahun ini, beliau menjelaskan bahawa SKK bernilai RM1,000 secara one-off disediakan untuk penerima STR dan pasangan yang meninggal dunia dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025.
“SKK yang disediakan kerajaan adalah bagi meringankan beban ahli keluarga dalam jangka pendek, selain menampung kos-kos berbangkit selepas kematian.
“Tempoh tuntutan SKK ini boleh dibuat oleh pasangan atau waris yang didaftarkan dalam pangkalan data STR di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan mengemukakan dokumen berkaitan.
“Penerima STR yang berusia 60 tahun ke bawah turut layak menerima SKK terhad kepada penerima dan pasangan kategori isi rumah saja, selain warga emas tiada pasangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Hassan Saad (Baling–PN) yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.




