
PROGRAM penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasi serta mengelakkan sebarang gangguan teknikal dan kesulitan kepada pengguna.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan bahawa pelaksanaan program itu berjalan lancar sejak diperkenalkan bulan lalu, dengan sistem beroperasi secara stabil tanpa menimbulkan kesesakan atau masalah kepada pengguna di stesen minyak.
“Pelaksanaan program BUDI95 secara berperingkat membolehkan ujian awal terhadap sistem dilaksanakan dalam skala kecil sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasaran lebih besar.
Pendekatan ini penting bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti, menilai dan menambah baik sebarang kelemahan teknikal, logistik atau operasi yang mungkin timbul sepanjang tempoh pelaksanaan awal.
“Setakat ini, dalam bulan pertama pelaksanaan BUDI95 boleh dikatakan berjalan lancar dengan sistem beroperasi dengan stabil dan secara amnya, ia tidak mengakibatkan kerumitan atau barisan panjang menunggu oleh pengguna,” menurut kementerian itu.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam–BN) berhubung pelaksanaan awal program berkenaan.
MOF turut menjelaskan bahawa pelaksanaan BUDI95 mengambil pengajaran daripada gangguan teknikal yang dialami ketika pelaksanaan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 31 Ogos lalu dan beberapa hari berikutnya.
“Di sebalik pelaksanaan sekali gus SARA untuk semua bermula 31 Ogos, pelaksanaan program BUDI95 dijalankan secara berperingkat, bermula dengan anggota tentera dan polis pada 27 September 2025, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September 2025, dan seterusnya diperluaskan kepada warganegara Malaysia yang layak pada 30 September 2025,” katanya.




