
Oleh: Ekin Rosli
TANAH MERAH – Sebanyak RM850,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Dataran Guillemard sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan tempatan.
Peruntukan itu melibatkan sumbangan RM350,000 daripada kerajaan negeri dan RM500,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
ADUN Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor berkata, projek berkenaan bertujuan meningkatkan kemudahan awam serta menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan baharu.
Beliau berkata, antara kemudahan yang akan dibangunkan termasuk galeri, perpustakaan, surau serta penyambungan laluan esplanade.
Menurutnya, lokasi dataran yang berhampiran Jambatan Guillemard mempunyai nilai sejarah yang mampu menarik minat pengunjung.
“Naik taraf ini dijangka memberi keselesaan kepada pengunjung di samping membuka peluang kepada aktiviti pelancongan berasaskan warisan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu juga diharap dapat disegerakan agar manfaatnya dapat dirasai oleh penduduk setempat.
Usaha tersebut dilihat mampu merancakkan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan kehadiran pelancong serta peluang perniagaan.





