
KOTA BHARU – Kadar zakat fitrah bagi negeri Kelantan untuk tahun ini ditetapkan RM10.
Sultan Muhammad V, selaku Ketua Agama Islam Negeri, memperkenankan ketetapan itu sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 6(1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, meskipun kadar minimum zakat fitrah ditetapkan RM10, individu berkemampuan dan ingin membayar RM22 berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah amat digalakkan, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, kadar nisab zakat harta bagi negeri Kelantan tahun 1447H/2026M ialah sebanyak RM37,401 untuk haul antara Ramadan tahun 1447H hingga Ramadan tahun 1448H.
Ujarnya, pembayaran zakat boleh dibuat melalui kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan, atau secara dalam talian menerusi portal rasmi MAIK di zakat.e-maik.my.
Tambah beliau, sehubungan itu, MAIK berharap semua pihak dapat mengambil maklum dan mematuhi ketetapan yang telah diputuskan, sekali gus bersama-sama mengimarahkan Ramadan 1447H dengan amalan soleh serta menunaikan tanggungjawab berzakat sebagaimana difardukan.
“Bagi pihak MAIK, saya mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam,” katanya.





