
KLUANG – Sembilan daripada 10 projek Tebatan Banjir Keutamaan Tinggi (TBBT) di Johor yang melibatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan berjumlah RM1.45 bilion telah mula dilaksanakan.
Berita baik itu dimaklumkan menerusi taklimat khas berkaitan status semasa projek tebatan banjir oleh Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara projek utama yang terlibat adalah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat, Seri Medan, dan RTB Sungai Muar Fasa 3, Pakej 1.
“Kerja-kerja pembinaan bagi TBBT ini kini berjalan lancar dengan hanya satu daripadanya masih berada di fasa pra pelaksanaan. Semua projek ini dipantau oleh Kerajaan Negeri serta Petra.
“Kita juga menumpukan perhatian kepada perancangan untuk memastikan bekalan air mencukupi di seluruh Johor,” katanya menerusi hantaran dikongsi di Facebook beliau.
Terdahulu, Onn Hafiz memuat naik lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ke Loji Rawatan Air (LRA) Kahang, Kluang di sini, semalam.
RTB yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri juga disifatkan sebagai projek berskala besar dan usaha jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir di daerah Segamat, Batu Pahat dan Kota Tinggi menerusi peruntukan disalurkan Kerajaan Persekutuan.
Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah RTB Sungai Johor Fasa 1 Pakej 1, Kota Tinggi, RTB Sungai Muar Fasa 3 Pakej 1 dan Pakej 2 di Segamat, RTB Bandar Batu Pahat, RTB Lembangan Sungai Kesang, Tangkak dan RTB Sungai Pemandi, Kota Tinggi.
Pelaksanaan projek berkenaan bakal mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat sekali gus memberi keselesaan dan perlindungan kepada lebih 87,000 penduduk setempat termasuk memastikan aktiviti ekonomi dan sosial penduduk tidak lagi terjejas.