
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Ribut Byron memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza, khususnya melibatkan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kini berlindung di khemah serta bangunan rosak.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan menerusi platform media sosial X, Selasa lalu, ribut berkenaan meningkatkan risiko keselamatan terhadap keluarga yang dipindahkan secara paksa, ketika cuaca buruk melanda pusat perlindungan yang sesak dan tidak selamat.
“Ribut Byron memburukkan lagi keadaan hidup yang sudah pun kritikal bagi ribuan individu yang tinggal di khemah atau struktur bangunan rosak,” menurut kenyataan UNRWA, lapor Anadolu.
Agensi itu turut menjelaskan bahawa usaha bantuan kemanusiaan terus terhad berikutan halangan berterusan oleh pihak berkuasa Israel yang menghalang UNRWA membawa masuk bantuan secara langsung ke Gaza sejak beberapa bulan lalu, sekali gus mengehadkan skala bantuan kepada penduduk terjejas.
Menurut UNRWA, beberapa kematian dilaporkan akibat runtuhan bangunan rosak yang dijadikan tempat perlindungan, selain kanak-kanak maut akibat pendedahan kepada cuaca sejuk melampau.
“Keadaan ini mesti dihentikan. Bantuan kemanusiaan perlu dibenarkan masuk tanpa halangan dan pada skala besar, dengan segera,” tegas agensi itu.
Sejak minggu lalu, ribuan khemah yang menempatkan mangsa konflik bertukar menjadi kawasan bertakung air, menyebabkan tilam, pakaian dan bekalan makanan rosak, sekali gus mendedahkan ratusan keluarga Palestin kepada kesejukan tanpa perlindungan mencukupi.
Pejabat media di Gaza memaklumkan bahawa wilayah itu memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 khemah serta unit perumahan pratuang bagi memenuhi keperluan perlindungan asas, susulan kemusnahan besar-besaran infrastruktur akibat serangan Israel sepanjang tempoh dua tahun lalu.
Konflik berkenaan dilaporkan meragut lebih 70,000 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar Gaza sebelum dihentikan sementara menerusi perjanjian gencatan senjata rapuh yang berkuat kuasa pada Oktober lalu.








