PULAU BETONG – “Balik Pulau Jiwa Merdeka” merupakan tema Sambutan Bulan Kebangsaan ke-67 peringkat Parlimen Balik Pulau yang disambut dengan meriah di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini pada Jumaat malam.
Menurut Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik, objektif utama program itu adalah untuk mengajak warga negeri terutamanya orang Balik Pulau bagi menghayati tema Hari Kebangsaan tahun ini, Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

“Betapa pentingnya untuk rakyat negara ini mencapai kemerdekaan yang sebenar dalam membentuk masyarakat bertamadun.
“Pelbagai acara menarik dianjurkan pada hari ini, dan berlaku kolaborasi erat bersama-sama pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Pejabat Penerangan Daerah Barat Daya,” katanya sambil berharap agar acara ini menjadi acara tahunan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar juga berharap agar penganjuran program tersebut berjaya menanam semangat patriotik dalam diri setiap masyarakat terutama sekali semasa menyambut Hari Kebangsaan.
“Justeru, marilah kita hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu dalam mencapai kemakmuran dan sayangilah negara kita, Malaysia,” ujarnya.
Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi, serta Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).




