
TAWAU – Daerah Tawau bakal mencatat sejarah sebagai lokasi pertama di Malaysia yang menubuhkan Klinik Kecerdasan Buatan (AI), sekali gus mencetuskan revolusi dalam sektor perubatan negara.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, inisiatif ini dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan pakar perubatan dan memudahkan rawatan pesakit di daerah ini.
Katanya, usaha antara Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pihak klinik swasta itu dijangka dibangunkan dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Sabah dan Tawau ini, kita mengalami kekangan jarak iaitu jauh dari pusat (Persekutuan) dan menjadikan kita kekurangan pakar doktor atau peralatan.
“Jadi sesuai kita menggunakan teknologi seperti AI misalnya kita dapat menerima rawatan secara jauh, nasihat atau pandangan doktor walaupun doktor itu di luar negara atau di mana-mana di seluruh dunia,” katanya kepada media selepas program Selangkah Ke Menara Gading (SEMEGA) 2025 dan SMJ Dron 2025 di Dewan Masyarakat Tawau, pada Sabtu.
Jelas Lo, dengan kewujudan AI Klinik, masalah khususnya dari aspek perubatan dan perawatan dapat diatasi sekali gus menyelamatkan lebih banyak nyawa.
Mengulas mengenai pertandingan SMJ Dron, Lo berkata ia merupakan usaha memperkasa masyarakat Tawau dengan peluang pekerjaan.
“Peranan dron ini penting bagi pembangunan sosial ekonomi khususnya di Tawau dan Sabah, namun masih ramai pelajar tidak faham atau tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran dalam bidang ini.
“Jadi kita ambil inisiatif ini untuk memberi tahu atau berkongsi sebenarnya apa itu dron yang kita boleh guna bukan untuk bermain tetapi digunakan untuk mendapatkan manfaat khususnya dalam meningkatkan pendapatan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap II MOSTI Sabah, Syahrin Samsir semasa merasmikan program berkenaan memuji penganjuran SEMEGA dan SMJ dron yang dilihat memberi impak dan ilmu baharu kepada pelajar.
“Melalui SEMEGA, kita harap ianya dapat membantu para pelajar kita yang masih mencari halatuju kehidupan dan tercari-cari maklumat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sementara itu, dron kini semakin banyak digunakan untuk kegunaan awam seperti memadam api kebakaran, meninjau keadaan trafik, memantau keadaan tumbuhan serta menyiram baja tumbuh-tumbuhan.
“Semoga pelajar dapat mengambil inisiatif untuk lebih maju dan berjaya sekali gus menjadi modal insan kepada negara,” ujarnya.




