Resipi PRN Sabah: Langkah strategik kestabilan nasional

KETIKA suhu politik mula meningkat di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada tahun ini, perhatian tertumpu bukan sahaja kepada calon atau manifesto, tetapi juga kepada strategi pengukuhan politik dan pentadbiran kerajaan negeri Sabah akan datang bersama dengan kerajaan persekutuan.

11 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama bagi menghadapi Pilihan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah melibatkan tiga gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perbincangan berhubung kerjasama itu menurut Pengerusi PH itu, dilakukan di peringkat Persekutuan, namun keputusan pelaksanaannya ditentukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH di peringkat negeri Sabah.

Berdasarkan pengumuman berkenaan, salah satu cadangan yang kini boleh dibincangkan secara intensif ialah keperluan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 50 kerusi DUN Sabah untuk ditandingi secara bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang juga merupakan parti nasional, sebelum meneruskan kerjasama bersama GRS.

Langkah ini — yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk memantapkan kerjasama antara negeri dan Persekutuan — membawa satu mesej yang lebih besar: iaitu kepentingan menjaga keseimbangan kuasa dalam rangka federalisme Malaysia.

Sabah: Antara aspirasi tempatan dan tanggungjawab nasional

Sabah hari ini bukan hanya sebuah negeri dengan kedudukan geopolitik yang strategik, tetapi juga sebuah entiti politik yang mampu menentukan arah kerajaan Persekutuan. Kekuatan kerusi di Dewan Undangan Negeri dan peranan sebagai pengeluar sumber menjadikan Sabah antara negeri yang memiliki pengaruh besar dalam perundingan kuasa.

Namun, potensi gabungan kukuh antara parti-parti tempatan seperti GRS dan Warisan turut menimbulkan satu persoalan penting: bolehkah dominasi politik tempatan yang terlalu kuat menjamin kerjasama jangka panjang dengan kerajaan pusat? Atau adakah ia bakal membawa kepada ketidakseimbangan dalam kerangka pentadbiran negara?

Implikasi keselamatan nasional: Sabah dan Sarawak sebagai blok berasingan?

Timbul juga kebimbangan dalam kalangan pemerhati politik dan sekiranya parti-parti tempatan di Sabah membentuk kerajaan yang majoriti dan kemudian menjalin kerjasama erat dengan Sarawak — yang kini memiliki pentadbiran tempatan yang mantap dan autonomi ekonomi yang semakin meluas — ia boleh mencetuskan satu bentuk kuasa blok wilayah yang mampu menolak pengaruh kerajaan pusat secara signifikan.

Dalam konteks keselamatan nasional, senario ini berpotensi menggugat kestabilan negara secara struktural. Kerajaan Persekutuan boleh hilang keupayaan untuk menyelaras dasar nasional di Borneo, terutama dalam hal berkaitan pelaburan asing, kawalan sempadan, dan pengurusan sumber asli. Lebih membimbangkan, kewujudan dua entiti wilayah yang kuat tanpa kehadiran pengimbang dari parti-parti nasional boleh mengakibatkan peningkatan sentimen pemisahan kuasa secara halus (soft secessionist sentiment) — satu situasi yang tidak pernah berlaku secara terbuka, tetapi mula diperbincangkan dalam wacana politik Borneo.

50 Kerusi: Titik imbangan antara kuasa dan kerjasama

Di sinilah cadangan penyusunan awal 50 kerusi antara BN dan PH menjadi signifikan. Langkah ini tidak harus dilihat sebagai strategi politik semata-mata, tetapi sebagai usaha berstruktur untuk membina kestabilan gabungan nasional di Sabah — yang boleh menjadi asas kepada rundingan lebih terbuka dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas itu.

Dengan pembahagian ini, gabungan pusat dapat memastikan mereka tidak masuk ke gelanggang tanpa arah. Ia meletakkan BN dan PH sebagai blok yang stabil dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana entiti lokal tanpa tunduk kepada tekanan dominasi tempatan.

Mengelak monolit kuasa, membangun kesepaduan nasional

Kebimbangan utama dalam analisis ini bukan soal siapa menang atau siapa dominan. Ia adalah tentang mengelakkan terjadinya satu monolit kuasa yang mampu merosakkan struktur semak dan imbang politik. Apabila sesuatu blok — walaupun lokal — terlalu kuat tanpa kehadiran rakan kongsi yang seimbang, ia boleh menggugat hubungan negeri–Persekutuan dan membentuk kerangka pentadbiran yang berat sebelah.

Kerajaan pusat tidak boleh berdiam diri dalam hal ini. Menetapkan garis awal 50 kerusi adalah langkah preemptif yang membolehkan suara Persekutuan terus relevan, tanpa mengabaikan aspirasi tempatan.

Sabah tidak sendiri, Malaysia bergerak bersama

Sabah tetap berhak kepada pentadbiran yang adil, stabil dan berpandangan jauh. Tetapi keadilan itu juga menuntut keterlibatan dalam sistem nasional yang lebih besar. Cadangan untuk BN dan PH memuktamadkan 50 kerusi sebagai asas kerjasama bukan satu bentuk penafian terhadap hak tempatan, tetapi satu ikhtiar agar gabungan tempatan dan nasional dapat bergerak bersama dalam arah yang sama.

Keseimbangan kuasa tidak akan wujud secara semula jadi. Ia perlu diusahakan — dengan rundingan, ketetapan, dan keberanian membuat keputusan awal yang sukar tetapi perlu.

Related Posts

Serbuan polis selamatkan hampir setengah juta individu daripada jerat syabu

KANGAR – Tindakan pantas polis dalam satu operasi di Jalan KTMB, Padang Besar pada Isnin lalu berjaya menggagalkan penyeludupan dadah jenis syabu seberat 98.73 kilogram bernilai RM4.9 juta yang dipercayai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Miliki tiga rekod lampau, lelaki dicekup simpan syabu

SARATOK – Padah memiliki dadah, seorang lelaki tempatan ditahan Pasukan Tindakan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dalam serbuan di tepi jalan kawasan itu, pada Khamis. Ketua Polis Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Serbuan polis selamatkan hampir setengah juta individu daripada jerat syabu

Serbuan polis selamatkan hampir setengah juta individu daripada jerat syabu

Miliki tiga rekod lampau, lelaki dicekup simpan syabu

Miliki tiga rekod lampau, lelaki dicekup simpan syabu

Lapan unit kedai di Jalan Pahlawan runtuh, tiada mangsa dilaporkan

Lapan unit kedai di Jalan Pahlawan runtuh, tiada mangsa dilaporkan

Bayi lelaki ditinggalkan di pusat perlindungan bayi Kuching, waris diminta tampil

Bayi lelaki ditinggalkan di pusat perlindungan bayi Kuching, waris diminta tampil

Alhamdulillah, saya juga ‘selamat’ dipecat – Wan Ahmad Fayhsal

Alhamdulillah, saya juga ‘selamat’ dipecat – Wan Ahmad Fayhsal

Kastam Malaysia catat RM9.97 bilion kutipan hasil setakat Januari 2026

  • By Ynom
  • February 13, 2026
Kastam Malaysia catat RM9.97 bilion kutipan hasil setakat Januari 2026