SANDAKAN – Seekor buaya seberat kira-kira 16 kilogram (kg) yang ditemukan terlilit tali di bawah jambatan belakang sebuah rumah di Kampung (Kg) Tinusa, di sini berjaya ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan awal pagi Khamis.
Menurut kenyataan APM Sandakan, kejadian itu dilaporkan sekitar pukul 1.28 pagi apabila Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) Sabah menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk kampung.
“Penduduk berkenaan yang sedang mengemas bot di belakang rumahnya terlihat seekor buaya berada di bawah jambatan dalam keadaan terlilit tali lalu segera menghubungi talian Malaysia Emergency Response Services 999 (MERS 999) kerana bimbang keselamatan diri dan penduduk sekitar.
“Susulan laporan itu, seorang pegawai bersama tujuh anggota APM Sandakan telah digerakkan ke lokasi kejadian menggunakan dua buah jentera.
“Setibanya di lokasi, pasukan APM mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk menjalankan operasi menangkap buaya berkenaan yang dianggarkan sepanjang 1.5 meter,” kata kenyataan itu.

Dalam operasi itu, pasukan menggunakan peralatan seperti tali, dua penjerut dan selimut bagi menutup mata buaya tersebut sebelum mengikatnya.
“Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan dilaporkan sepanjang operasi dijalankan.
“Buaya tersebut kemudiannya akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan tersebut.







