TAWAU – Makanan laut, kepelbagaian aneka produk tempatan termasuk barangan Indonesia antara cerita lazim yang pasti menjadi perkongsian pengalaman istimewa oleh para pengunjung yang pernah ke Tawau.
Lebih unik apabila geografi Tawau yang berkongsi sempadan antarabangsa dengan negara jiran, Kalimantan Indonesia, contohnya seperti Pulau Sebatik yang sebahagiannya dimiliki oleh Malaysia dan sebahagian lagi Indonesia menjadikan ia destinasi terdekat di sini yang boleh dilawati.
Justeru, tidak hairan sekiranya daerah ketiga terbesar di Sabah itu, loghat komuniti tempatannya acap kali disifatkan lebih kurang sama dengan Indonesia disebabkan budaya yang hampir serupa terutama bagi masyarakat Bugis.
CERMINAN KEPELBAGAIAN PRODUK MALAYSIA-INDONESIA
Maka Pasar Tanjung tempat paling tepat dan wajib untuk dilawati buat para pengunjung yang mahu merasakan pengalaman membeli-belah yang menawarkan keunikannya yang tersendiri.
Selain jolokan ‘Tawau Syurga Makanan’, ‘Tawau Bumi Peladang’ daerah ini juga adalah ‘Syurga Barangan’ untuk mendapatkan sesuatu barangan Malaysia-Indonesia dengan harga rendah dari pasaran biasa termasuk layanan mesra peniaga kepada pelanggan dalam satu perundingan untuk mendapatkan tawaran harga terbaik berkaitan sesuatu barangan.
Asal-usul nama Pasar Tanjung kerana terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong yang terletak di pusat bandar yang sudah tentu mudah diakses oleh para pengunjung.
SUMBER EKONOMI MASYARAKAT TAWAU
Pasar Tanjung juga merupakan sumber ekonomi masyarakat setempat.
Dianggarkan lebih 2,500 gerai penjaja menjual beraneka makanan dan produk lokal Malaysia dan luar negara, Indonesia di kesemua tiga tingkat bangunan itu, tidak termasuk pusat kemudahan awam beberapa pejabat kerajaan.
Bahagian aras bawah Pasar Tanjung, pengunjung boleh mendapatkan peralatan memasak seperti kuali dan periuk tingkat atau produk penjagaan diri seperti minyak kayu putih serta minyak telon Indonesia yang dipercayai lebih berkualiti, murah dan tahan lama.
Pada masa yang sama, pengunjung juga boleh membeli produk makanan buatan tempatan Tawau seperti keropok Amplang, kerepek, kuih cincin, bahan mentah seperti daging dan ayam selain sayur-sayuran serta buah-buahan.
Selain barangan dapur, antara tarikan utama pelancong dalam dan luar negara adalah gerai jualan ikan masin yang terletak di tingkat satu.
Menurut seorang peniaga ikan masin yang telah berniaga lebih 40 tahun, Siti Maisaroh Mukson Hadi, 68, ikan masin yang dijual di Pasar Tanjung ini sememangnya menjadi pilihan terutama pengunjung dari Semenanjung Malaysia.
“Saya berniaga 24 tahun di Pasar Tanjung dan memang banyak menerima pelanggan dari Semenanjung untuk membeli ikan masin dan ikan bilis mata biru yang dibungkus berkilo-kilo untuk dibawa balik.
“Kami juga ada menerima tempahan untuk dikirim ke Semenanjung dan memang Tawau adalah pusat untuk beli-belah yang sesuai,” katanya semasa ditemui penulis di Pasar Tanjung di sini pada baru-baru ini.
Selain mendapatkan makanan yang murah dan sedap seperti ikan bakar, makanan cita rasa kampung dan tradisi seperti ‘sanggar peppek’ (makanan bugis-pisang dilenyekkan) di tingkat tiga Pasar Tanjung, pengunjung juga boleh mencuci mata membeli cenderamata dan pakaian.
Seorang pemilik gerai, Suriana Japar, 64, berkata, jualan cenderamata dan pakaian terutama fesyen Indonesia menjadi minat orang tempatan dan menjadi permintaan yang tinggi di Pasar Tanjung.
“Majoriti pakaian yang dijual di sini adalah dari Indonesia dan memang mendapat permintaan ramai. Contohnya baju batik, kain sarung dan ‘daster’ (baju wanita),” kongsinya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Lahad Datu, Erica Laurence, 30, berkata, dia dan keluarganya kerap membeli barangan dan makanan di Pasar Tanjung apabila berkunjung ke Tawau.
“Pasar Tanjung menjadi tempat tumpuan dan kami sekeluarga pun jika ke Tawau akan membeli barangan di sini. Bukan sahaja barang dapur tapi juga peralatan dapur seperti periuk sebab di sini lebih murah serta senang untuk diperoleh.
“Selain itu, selalu juga membeli makanan ringan seperti keropok tempatan,” tambahnya.

TUMPUAN AWAM AKSES PERKHIDMATAN KERAJAAN
Di sebalik kesibukan Pasar Tanjung di tingkat bawah, tingkat paling atas iaitu tingkat empat pasar berkenaan antara tempat yang pernah padat pengunjung beberapa tahun lalu disebabkan kemudahan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Ini kerana UTC menawarkan beberapa perkhidmatan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus kepada pelanggan yang juga beroperasi sehingga pukul 9 malam bagi membantu mereka yang tidak dapat menyelesaikan sesuatu urusan rasmi pada waktu siang.
Tinjauan penulis ke tingkat ruangan kemudahan untuk orang ramai menjalankan urusan rasmi itu kini masih mendapat perhatian terutama di pejabat agensi Persekutuan dan Negeri seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara (untuk pengesahan dokumen sahaja).
Inilah keunikan Pasar Tanjung yang mana bukan sahaja menyediakan sebuah pusat membeli-belah harian, ditambah memberi kemudahan kepada orang awam untuk melakukan urusan penting hanya di bawah satu bumbung ‘Pasar Tanjung’.
KERAJAAN SABAH PRIHATIN, NAIK TARAF PASAR TANJUNG
Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap para pengusaha tempatan akhirnya terbukti apabila kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor memperuntukkan RM11.71 juta bagi menaik taraf Pasar Tanjung dan sebuah lagi pasar di Sandakan bermula tahun hadapan.
Sudah tentu dengan naik taraf pasar ini akan memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung yang berada di kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, dengan perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur kelak diyakini Tawau akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan tumpuan perdagangan.
Oleh itu, kerajaan perlu memberi fokus kepada kemajuan Tawau terutamanya dari aspek kemudahan insfrastruktur lebih-lebih lagi Tawau merupakan daerah yang paling hampir dengan Indonesia.




