TANGKAK – Peranan dan tanggungjawab besar oleh agensi-agensi terlibat dalam mengurus serta menyantuni mangsa banjir tidak seharusnya dipandang ringan.
Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri, Shanmugam Mookan berkata, di sebalik bantuan yang sampai kepada mangsa hari ini adalah hasil usaha ribuan jiwa yang bekerja keras siang dan malam.
Katanya, pihak terlibat tidak sekadar menjalankan tugas, namun kumpulan ini sebenarnya digerakkan oleh keikhlasan dan rasa tanggungjawab untuk meringankan beban terhadap mangsa banjir.
“Dalam menghadapi detik-detik getir seperti ini, perpaduan adalah kunci utama kejayaan kita. Saya ingin menyampaikan penghargaan setulus hati kepada semua yang telah bekerja tanpa mengenal lelah untuk memastikan mangsa banjir mendapat bantuan yang mereka perlukan.
“Sebagai wakil Perdana Menteri, saya sendiri menyaksikan bagaimana agensi seperti jabatan di Kementerian Komunikasi dan Pejabat Daerah telah menunjukkan komitmen yang luar biasa.
“Mereka tidak hanya menjalankan tugas; mereka melangkaui tanggungjawab, bekerja keras siang dan malam, mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan tiada rakyat Malaysia yang dibiarkan keseorangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Menyantuni Mangsa-mangsa Banjir di Dewan Serbaguna Penghulu Long, Teluk Rimba, Sungai Mati, di sini, hari ini.
Hadir sama pada program itu, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B); Pegawai Tadbir Tanah Daerah, AB Rahman Mohamed@Ismail dan Ketua Polis Daerah, Superintenden Roslan Mohd Talib.

Tambah Shanmugam, agensi lain seperti SKM juga wajar dipuji berikutan kepantasan dan kecekapan dalam memastikan bantuan yang sampai benar-benar berkesan.
“Inisiatif ini mencerminkan kekuatan sistem sokongan kita yang diperkuat oleh semangat kebersamaan dan kepimpinan yang mantap.
“Saya amat bangga dengan dedikasi semua pihak yang memainkan peranan mereka. Anda semua telah menunjukkan bahawa kita adalah satu keluarga besar, bersatu dalam semangat dan tindakan. Anda tidak hanya membantu mangsa banjir, anda juga telah memberi inspirasi kepada seluruh negara.
“Kepada komuniti yang terkesan, ketahuilah bahawa usaha ini tidak akan berhenti di sini. Kami akan terus bersama anda, memastikan perjalanan
pemulihan ini membawa kehidupan yang lebih baik dan lebih bermakna.
“Anda tidak keseorangan. Kami semua di pihak kerajaan, agensi, NGO, dan seluruh rakyat Malaysia berdiri bersama anda,” katanya.
Terdahulu, seramai 50 keluarga dalam daerah ini yang terjejas akibat banjir disantuni melalui sumbangan barangan keperluan harian bernilai RM150.




