
SELEPAS sembilan bulan perang berlangsung, Israel dan Hamas mengadakan rundingan menerusi pengantara di Doha, Qatar yang bertujuan untuk mencapai persetujuan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.
Zionis juga mengisytiharkan penamatan operasinya di timur, tetapi mengingkarinya apabila meneruskan pertempuran dan pengeboman di bandar terbesar Gaza.
Bercanggah dengan perjanjian yang rejim itu perlu berundur dari semua wilayah Gaza selepas gencatan senjata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula mahu pasukannya mengekalkan kawalan di wilayah utama Gaza di sepanjang sempadan dengan Mesir.
Netanyahu mendakwa kawalan itu perlu bagi menghalang dan menghentikan bekalan senjata sampai ke Palestin.
Selepas berundur dari daerah Shujaiya di timur Gaza City, pasukan tentera Israel bergerak ke bahagian lain di Gaza. Ketika pejuang Palestin bertempur di Tel al-Hawa, rejim menggunakan kesempatan itu dengan melakukan serangan udara di kawasan kejiranan Sabra.
Pejuang Hamas pula berkata, mereka tidak dimaklumkan tentang perkembangan terbaharu rundingan, bahkan menganggap Israel menggunakan taktik untuk mensabotaj usaha gencatan senjata.