
PELAKSANAAN agenda reformasi menerusi kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan disiplin fiskal berjaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit sepanjang tahun lalu.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kepimpinan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan turut menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kejayaan Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun lalu membuktikan kredibiliti negara apabila menerima pujian daripada negara anggota, rakan dialog serta agensi penarafan kredit global.
“‘…dari segi pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan memang diiktiraf di peringkat antarabangsa (sekali gus) menunjukkan kredibiliti negara apabila kita mempengerusikan ASEAN, semua peringkat… negara utama datang ke Malaysia.
“Itu antaranya menunjukkan dari segi keberkesanan agenda pembaharuan ekonomi dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI (dan) kita harap ia (pembaharuan) juga diteruskan demi kemakmuran negara,” katanya memetik laporan Bernama.
Johan berkata, pendekatan subsidi bersasar yang diperkenalkan kerajaan membezakan Malaysia daripada negara lain yang memilih kaedah kenaikan harga menyeluruh atau pemberian tunai tanpa mekanisme perlindungan mencukupi kepada rakyat dalam mengurus cabaran fiskal.
Katanya, langkah itu membolehkan kerajaan memastikan perbelanjaan awam lebih berdisiplin di samping kebajikan golongan memerlukan terus terpelihara.
“Melalui penyasaran subsidi, kerajaan kita dapat memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekali gus mengelakkan tekanan inflasi lebih tinggi ke atas majoriti rakyat,” katanya.
Mengulas prestasi mata wang, beliau memaklumkan ringgit mencatat prestasi terbaik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2025, sekali gus membantu mengurangkan kesan inflasi import terhadap harga barangan dan kos bahan mentah dari luar negara.
“Pengukuhan ringgit ini memainkan peranan penting dalam mengekang kenaikan harga barangan domestik, khususnya yang bergantung kepada rantaian bekalan global,” katanya.
Dalam pada itu, Johan menegaskan kerajaan akan meneruskan agenda reformasi Ekonomi MADANI secara konsisten dengan memberi tumpuan kepada penarikan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan bernilai tambah serta menawarkan gaji yang setimpal kepada rakyat.
Secara keseluruhan, ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia dengan kenaikan melebihi sembilan peratus berbanding dolar AS sepanjang 2025, dipacu kekukuhan asas ekonomi serta prestasi eksport yang memberangsangkan.
Penganalisis turut menjangkakan trend pengukuhan itu berterusan dengan mata wang tempatan berpotensi mencecah paras RM3.95 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun ini.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan berdasarkan anggaran awal, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus pada suku keempat tahun lalu, disokong prestasi kukuh sektor utama ekonomi dan permintaan domestik yang stabil.


